Dikuasakan oleh Blogger.

Services

Services
Sound & Light System, Event Management, Recording, Studio, Books, Boutique, Photography, Wedding Planner, Transportation, Videography, Designing & Printing. Interested with the services?? Kindly text to 012-5829252.

Aku

Jurutera di KTF Engineering (M) Sdn. Bhd. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan (Komunikasi) di Kulliyyah Kejuruteraan. Tokoh Pelajar Putera 2004, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Pulau Pinang. Melibatkan diri secara aktif dalam gerakan mahasiswa dalam dan luar kampus. Mantan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan 2006/2007 (Matrikulasi UIAM), mantan Pengerusi Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2008/2009 dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi sesi 2009/2010. Email : hang_jebat25@yahoo.com

Followers

UPAH PEKERJA SWASTA

Sabtu, 31 Mac 2012

Mutakhir ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan untuk menyelaraskan gaji minima bagi sektor swasta selari dengan pelarasan gaji sektor awam. Pengumuman tersebut walaupun masih belum mendapat keputusan yang muktamad namun ia semestinya telah menarik perhatian para pekerja di sektor swasta walaupun rata-ratanya lebih bersikap skeptikal selagi pengumuman rasmi belum diumumkan dan pihak majikan pula memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan hasrat tersebut.

Setakat persetujuan awal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai oleh tiga badan utama, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kementerian Sumber Manusia yang diketuai oleh Menterinya sendiri, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; RM900 adalah cadangan gaji minimum yang akan ditetapkan bagi pekerja swasta. Pada hemat saya, MPGN perlu untuk melaksanakan ia dengan lebih baik.

Isu gaji minimum kedengaran bukan sejak Januari 2012 tetapi sejak tahun 1999 lagi. Selama lebih 10 tahun, MTUC masih belum mampu untuk menuntut hak pelarasan gaji minimum? Itu belum lagi termasuk isu beberapa tahun penyelesaian gaji minimum pegawai keselamatan, gaji minimum pembantu rumah warga asing dan lain-lain. Apakah tindakan yang telah MTUC lakukan selama ini bagi kepentingan pekerja swasta? Kenapa mereka tidak selantang pihak CUEPECS dalam menuntut hak para penjawat awam di negara ini? 

MEF pula sebagai wakil majikan lebih melihat kepada kepentingan dan keuntungan majikan semata-mata tanpa melihat peri pentingnya para pekerja bagi sesebuah syarikat. Benarkah mereka dengan ikhlas untuk memberikan gaji minimum kepada pekerja swasta atau masih memikirkan kekurangan keuntungan mereka saban tahun? Memang tidak dinafikan, masyarakat sering beranggapan gaji pekerja swasta lebih tinggi daripada penjawat awam tetapi kita juga harus ingat, sektor swasta juga terbahagi kepada banyak sektor dan setiap sektor tersebut juga berbeza taraf perniagaannya sama ada kecil, sederhana ataupun besar. Jangan terlampau menyempitkan fikiran memandang syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham dan syarikat multinasional sahaja tetapi kita juga perlu melihat kepada syarikat-syarikat atau kilang-kilang kecil dan sederhana sebagai contoh. 

Kementerian Sumber Manusia pula bagai tidak berfungsi sama sekali. Menterinya sendiri dilihat seperti tidak serius untuk menangani permasalahan membabitkan pekerja di negara ini dan perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan dalam satu sidang media. Apakah yang pihak kementerian telah lakukan untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin? Tidak mustahil bagi pihak MTUC untuk membuat ketetapan hilang keyakinan terhadap kewibawaan Menteri tersebut.

Cukup dengan semua ini. Kita tidak ingin isu yang sudah lebih 10 tahun ini bersambung bagi 10 tahun akan datang. Persoalannya sekarang, kenapa tidak sekarang semuanya berubah? Semestinya MPGN telah melakukan kajian yang mendalam untuk memperincikan isu tersebut. Tetapi MPGN harus ingat, pekerja sektor swasta bukan hanya terdiri daripada sektor am rendah tetapi juga melibatkan mereka yang berpendidikan daripada peringkat diploma ke ijazah sarjana muda khususnya. Ada juga di kalangan mereka adalah golongan professional tetapi masih bergaji diparas yang kurang munasabah atau lebih diketahui sebagai under paid

MPGN mungkin boleh mempertimbangkan beberapa faktor untuk menyelaraskan isu gaji ini. Satu daripadanya adalah berdasarkan faktor kelayakan akademik; sijil dan kebawah, diploma dan ijazah sarjana muda. Adalah tidak adil untuk mereka yang berkelayakan akademik ijazah sarjana muda mempunyai tangga gaji yang sama dengan yang berkelayakan diploma. Di dalam setiap taraf akademik yang sama juga perlu dibahagikan jawatan professional dan jawatan bukan professional. Bukan untuk menidakkan mereka berjawatan tidak professional tetapi itulah realitinya. Mereka yang berjawatan professional mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza. Mudahnya, kos pengajian mahasiswa kejuruteraan, seni bina dan undang-undang juga berbeza dengan mereka yang mengambil jurusan sains manusia dan pengurusan pejabat. Mengapa tidak tangga gaji mereka lebih tinggi seperti perbezaan tangga gaji seorang doktor dan seorang jururawat walaupun kedua-duanya mempunyai segulung ijazah? Mahasiswa yang menuntut di dalam bidang professional semestinya lebih daripada sudut jam kredit di dalam kelas, tugasan, kuiz, peperiksaan, tahap kepayahan dalam pengajian dan disebabkan itulah mereka dipanggil golongan professional. 

Faktor kedua adalah lokasi. Seorang yang bergaji RM2,000 sebulan di utara Semenanjung semestinya tidak sama dengan seorang yang bergaji RM2,000 sebulan yang bekerja di sekitar Lembah Klang. Matematik mudah, bagi mereka yang menggunakan kereta mahupun pengangkutan awam di Lembah Klang perlu melalui beberapa tol atau stesen LRT untuk ke tempat kerja berbanding mereka yang tinggal diluar ataupun di pinggir bandar. Itu belum lagi jika ditambah dengan kos makanan dan tempat tinggal. Lainlah sekiranya kerajaan berhasrat untuk menghapuskan sistem tol di Malaysia ini.

Kerajaan perlu melihat kepentingan jangka panjang pelarasan gaji minimum ini. Perkara pokok yang perlu difokuskan ialah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Berdasarkan pendedahan bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamad dua tahun lepas, kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan menerima gaji pokok di bawah paras RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya berpendapatan di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar. Bagaimana hasrat kerajaan untuk mengurangkan peratus isu rumah dibawah paras kemiskinan sekiranya pelarasan ini tidak dilaksanakan?

Saya pasti selain daripada kebajikan rakyat, pihak kerajaan juga perlu untuk meneliti keupayaan majikan untuk melaksanakan polisi baru ini. Bagi majikan yang mampu pula, adakah mereka akan melaksanakan dasar tersebut demi kebajikan pekerja mereka? Saya beranggapan, 13% bahagian majikan dalam KWSP pun masih lagi ramai yang belum laksanakan. Langkah yang efektif perlu diambil untuk menjadikan hasrat ini terlaksana. 

Bagi para pekerja swasta, perlu juga untuk disemaikan di dalam fikiran bahawa gaji penjawat awam adalah berdasarkan kepada senioriti khususnya, tetapi tidak bagi pekerja sektor swasta yang mengutamakan kualiti kerja seseorang. Tingkatkan kualiti diri dan jadikan diri setanding dengan permintaan majikan swasta. Mereka perlu lebih bersedia sekiranya suatu hari nanti pasaran pekerjaan professional dibuka kepada pihak luar. Adakah mereka bersedia untuk setanding dengan kebolehan dan kepakaran pekerja professional luar negara?

Daripada sudut yang lain, berkemungkinan besar, selepas pengumuman pelarasan gaji ini dibuat, para peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan. Mengapa tidaknya, penjawat awam telah diumumkan pelarasan gaji yang baru di bawah SBPA ditambah dengan pelarasan gaji pekerja swasta. Justeru, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memastikan perkara sedemikian tidak berlaku. Sekiranya pihak KPDNKK tidak mampu membendung gejala tersebut, maka sia-sialah usaha menyelaraskan gaji pekerja swasta.

Tidak dinafikan pelarasan gaji ini agak kompleks untuk dilaksanakan tetapi ianya tidak mustahil. Sekiranya bukan pada tahun 2012, setidaknya isu ini sudah tidak lagi kedengaran pada tahun 2020 bagi semua peringkat taraf pekerjaan. Buat permulaan, majikan boleh mulakan untuk memberi elaun, insentif, upah kerja lebih masa ataupun komisyen kepada pekerja yang rajin. Ini secara tidak langsung meningkatkan produktiviti syarikat dan syarikat tidak rugi sama sekali malah langkah sebegini juga secara tidak langsung memberi motivasi kepada pekerja untuk berusaha dengan lebih gigih. Langkah ini juga lebih adil bagi mereka yang berpendidikan rendah tetapi berkemahiran tinggi dan mereka yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu untuk menetapkan kenaikan gaji minimum setiap tahun sekurang-kurangnya 5% ke 10%. Mungkin pada sesetengah pihak, 5% itu terlalu kecil tetapi hakikatnya, masih ramai lagi pekerja yang tidak pernah dinaikan gaji walaupun sudah lebih 5 tahun bekerja disyarikat yang sama. Bonus? Sudah tentulah jauh sama sekali. Bagaimana mereka ini mampu untuk menampung kos sara hidup sedangkan kadar inflasi meningkat saban tahun?

Buktikan isu ini bukan sekadar polemik politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas meningkatkan taraf hidup rakyat, mulakan satu langkah berani melakukan perubahan. Rakyat Malaysia bukan hanya mereka yang bekerja kerajaan tetapi juga mereka yang bekerja di sektor swasta. Buktikan langkah penswastaan bukan satu kesilapan tetapi satu cabaran khususnya kepada Menteri di Kementerian Sumber Manusia. Para pekerja swasta juga menuntut upah yang setimpal kearah kestabilan ekonomi negara.




Read More...
banner125125 d'famous_125x125 ads_box ads_box ads_box
 

Politik

Ikon

Berita