Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Negara atau
lebih dikenali sebagai PTPTN menjadi isu hangat sejak awal April 2012. Sekilas
pandang menerusi perbincangan di laman sosial Facebook khususnya dan blog-blog
secara umumnya, adalah menjadi sesuatu yang memeranjatkan apabila peratusan
sokongan terhadap pengekalan dan pemansuhan PTPTN adalah hampir sekata. Bagaimana
pula dengan anda?
Tidak mahu untuk
saya terlibat dalam perbahasan panjang untuk dikekal atau dimansuhkan PTPTN
tetapi lebih suka untuk saya membawa pembaca kepada fokus yang ketiga; iaitu ‘tambah
baik’ PTPTN. Secara tidak langsung, kenyataan saya di atas jelas. Kekalkan
PTPTN? Ya. Mansuhkan PTPTN? Juga ya, tetapi kepada beberapa faktor pemansuhan
dan penambahbaikan.
Siapa tidak mahu
sesuatu yang percuma? Rata-rata suka akan perkara percuma termasuklah saya
sendiri tetapi terkadang pernahkah kita sendiri merasa puas sekiranya sesuatu
perkara itu kita kecapi hasil daripada titik peluh usaha kita sendiri? Perkara
asas untuk kita fahami ialah, hutang tetap wajib dibayar kecuali pihak
pemiutang menghalalkan segala hutang kita.
Perkara pokok
untuk kita hapuskan pada PTPTN ialah kos pengurusan 1% atau sekarang lebih
dikenali sebagai ujrah-upah.
Sememangnya kos 1% tersebut telah dikemaskini daripada 3% sebelum ini tetapi 1%
tersebut tetap tidak relevan untuk dikenakan ke atas mahasiswa. Walau selantang
mana pun PTPTN menyatakan 1% tersebut bukanlah kos faedah, realitinya 1% tidak
perlu untuk dikenakan ke atas peminjam. Pengiraannya mudah sahaja, sekiranya
peminjam meminjam RM14,000 untuk kos pengajian, maka ujrah 1% ke atas peminjam tersebut adalah RM140 setahun. Tetapi
bagi mereka yang meminjam RM28,000 pada sepanjang tahun pengajian, maka mereka
perlu untuk membayar RM280 setahun. Anda faham akan perkiraan tersebut bukan? Kos ujrah
tersebut meningkat dengan meningkatnya nilai pinjaman. Persoalannya ialah, mengapa tidak diselaraskan
sahaja satu nilai walau sebanyak mana pun nilai pinjaman? Secara umumnya,
peminjam perlu untuk melunaskan segala pinjaman dalam jangka masa 10 ke 15
tahun setelah tamat pengajian. Bolehlah anda mengira sendiri jumlah keseluruhan
pinjaman yang perlu dilunaskan termasuk kos ujrah
tersebut, kononnya.
Buat makluman semua, para graduan yang telah menandatangani perjanjian 3%
perlu untuk membuat perjanjian semula bersama PTPTN untuk menukarkan kos pengurusan
3% kepada 1%. Apa yang terjadi sekarang ini ialah, graduan yang belum sempat
menukarkan perjanjian tersebut walau apa pun alasan mereka telah dikenakan cas
tersebut setiap bulan tanpa mereka sedari! Ya, dan perkara tersebut terjadi
kepada sahabat rapat saya sendiri yang dikenakan cas RM65 sebulan kerana masih
terikat dengan perjanjian lama. Beliau lambat untuk menukarkan perjanjian sedia
ada sedangkan RM65 tersebut tidak termasuk jumlah pinjaman semasa, dan dalam
erti kata lain, peminjam telah dikenakan faedah setelah beberapa bulan menamatkan
pengajian. Mungkin anda boleh menyemak nama anda di laman web PTPTN bagi mereka
yang mengambil mudah untuk menukar perjanjian tersebut.
Penghapusan kadar 1% tersebut sudah tentulah sesuatu yang kecil bagi pihak
kerajaan berbanding subsidi RM43 billion dengan jumlah tanggungan RM4 billion
ke RM6 billion setahun berdasarkan perangkaan untuk 2012/2013. Nilai tersebut
sudah tentu membantu ribuan graduan berbanding membantu seorang ahli korporat
yang telah menjadi liabiliti kepada Malaysia Airlines sebanyak RM8 billion
tetapi telah dihapus kira hutangnya oleh kerajaan sebanyak RM589 juta kepada
Dana Harta walaupun tiga tahun lalu beliau telah diarahkan untuk melunaskan
hutang tersebut oleh pihak mahkamah. Sistem sebegini perlu diubah, sistem yang
memenangkan mereka yang berduit; tidak bagi rakyat biasa yang berpendapatan
sederhana dan rendah. Mengapa kerajaan boleh memberikan jutaan ringgit
pelepasan kepada seorang yang sememangnya sudah berharta dan melakukan
kesilapan pengurusan tetapi tidak bagi mereka yang tidak semewah mereka yang
berada dan tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi?
Perkara kedua yang perlu ditambah baik adalah, jadikan PTPTN sebagai pinjaman
pemboleh ubah. Selain tidak perlu untuk membayar faedah untuk pinjaman, malah
pinjaman tersebut boleh dikurangkan berdasarkan keputusan akhir peperiksaan.
Sememangnya langkah kerajaan untuk memberikan pelepasan kepada 11,764 graduan
yang mendapat kelas pertama setakat 31 Disember 2011 adalah satu langkah bijak
untuk membantu mahasiswa cemerlang yang gagal untuk mendapatkan biasiswa.
Walaubagaimanapun, jumlah 11,764 graduan tersebut hanya mewakili berapa peratus
daripada jumlah keseluruhan graduan? Haruslah diingat, kebanyakan mahasiswa
yang sememangnya cemerlang di dalam akademik telah pun ditaja oleh mana-mana
pihak samaada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Intel, Petronas dan sebagainya. Pada
hemat saya, lebih berbaloi untuk pihak kerajaan menjadikan PTPTN seperti MARA
yang mana graduan akan membayar kos pengajian berdasarkan keputusan akhir
peperiksaan. Jangan hanya fokuskan kepada mereka yang hanya mendapat kelas
pertama sahaja tetapi kelas kedua atas, bawah dan sebagainya. Sediakan satu
jadual pembayaran balik mengikut keputusan akhir pinjaman. Secara tidak
langsung, mahasiswa akan lebih fokus terhadap pelajaran sekurang-kurangnya berusaha
mendapatkan PNGK 3.0 dan ke atas bagi membolehkan mereka mengurangkan
pembayaran balik 50% ke 60% sebagai contoh.
Mungkin juga PTPTN boleh menjalankan kajian terperinci untuk memberikan
pelepasan 100% bagi mereka yang tidak mendapat ijazah sarjana muda kelas
pertama tetapi kelas kedua atas yang aktif dalam aktiviti kokurikulum samaada
sukan, kepimpinan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya. Sememangnya manusia
dilahirkan dengan kebijaksanaan serta bakat yang berbeza-beza dan kepelbagaian
kebijaksanaan dan bakat ini perlu diraikan bersama. Sekiranya cadangan ini
boleh diterima pakai, satu sistem yang efektif perlu disediakan bagi menilai
keaktifan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum.
Isu disenaraihitam juga perlu untuk dikaji semula. Nama disenaraihitamkan
bukanlah sesuatu perkara kecil, ia boleh memberi kesan seumur hidup kepada para
graduan. Bayangkan mereka yang baru berusia lewat dua puluhan tetapi telah
disenaraihitamkan? Permudahkanlah urusan pembayaran
balik walaupun sekadar RM50 sebulan. PTPTN bukanlah sama seperti institusi
kewangan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan yang dikawal selia oleh
Bank Negara dan tidak sepatutnya mempunyai kuasa seperti bank-bank. PTPTN juga
seharusnya berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk selalu menyemak
pangkalan data bagi memastikan mereka yang telah melunaskan pembayaran balik
dibersihkan nama.
Jumlah RM43 billion
yang diperdebatkan bukanlah suatu angka yang kecil. Bukanlah saya ingin
menidakkan pendidikan tinggi percuma tetapi saya lebih cenderung untuk
memperjuangkan peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
Kita yang berada di bandar tidak merasa jerih perih mereka yang berada di
kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak. Jumlah tersebut perlu
disalurkan dahulu kepada mereka daripada kita yang telah mendapat peluang untuk
menyambung pelajaran di peringkat universiti. Teringat saya ketika satu
konvensyen yang pernah saya hadiri bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa, MPM
seluruh IPTA di Universiti Tun Hussein Onn, UTHM. Tatkala sebahagian MPM
melontarkan isu kelebihan MPM, MPM daripada Sabah dan Sarawak khususnya
bercakap tentang kedaifan sekolah di kawasan sekitar mereka. Jangan kita
bandingkan sekolah rendah di sekitar Putrajaya, walhal sekolah menengah di
kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak pun masih lagi berdindingkan kayu, berlantaikan
tanah, berbumbungkan daun nipah. Sesungguhnya mereka lebih memerlukan dana RM43
billion tersebut.
Perlu untuk
diperjelaskan berkenaan isu PTPTN ini bukan sekadar pemansuhan PTPTN tetapi kelebihan
pendidikan percuma kepada mahasiswa. Sememangnya mereka ingin PTPTN dimansuhkan
tetapi diganti dengan pendidikan tinggi percuma yakni yuran dipercumakan. Mungkin
kerajaan mampu untuk memansuhkan PTPTN dan mengecualikan yuran universiti tetapi
kita perlu mengkaji, kebanyakan besar mahasiswa juga menggunakan wang pinjaman
tersebut untuk kos sara hidup, membeli buku, pengangkutan dan sebahagian yang
membayar sewa rumah bagi yang tidak mendapat penginapan di dalam kampus dan
sebagainya. Adakah suatu hari nanti kita akan meminta pula untuk diberikan wang
saku percuma? Adakah pengecualian yuran hanya kepada IPTA bukannya IPTS?
Bagaimana pula dengan Kolej Komuniti, Pusat Kemahiran dan sebagainya? 20 IPTA
di Malaysia tidak mampu untuk menampung semua mahasiswa dan bukannya semua
mahasiswa IPTS adalah berlatar belakangkan keluarga berada. Sekiranya PTPTN
dihapuskan serta merta dan mahasiswa IPTS disisihkan daripada kelebihan
pendidikan percuma, tidak mustahil, ramai yang akan tercicir untuk melanjutkan
pelajaran. Umum mengetahui, kos pengajian di IPTS adalah lebih mahal daripada
IPTA.
Dasarnya, PTPTN
tidak perlu dihapuskan secara terus menerus tetapi sistem yang sedia ada perlu
untuk ditambah baik. Hapuskan caj pengurusan 1% dan jadikan pinjaman sebagai
pinjaman boleh ubah berdasarkan keputusan akhir peperiksaan dan mudahkan urusan
pembayaran balik pinjaman. Bagi yang meminjam, hutang tetap perlu dilunaskan.
Adakah mereka yang menuntut untuk menghapuskan PTPTN ini telah membayar walaupun
1 sen? Jangan hanya memikirkan untuk membeli rumah, kereta dan gajet-gajet
mewah tetapi leka dan alpa dalam membayar hutang sedia ada. Adalah tidak adil
bagi mereka yang komited membayar balik pinjaman sedikit demi sedikit sedangkan
mereka yang tidak pernah membayar pinjaman dilepaskan terus daripada pinjaman.
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/ptptn-kekal-atau-mansuh-atau-tambah-baik-1.42419
http://www.facebook.com/SinarHarian/posts/439030442789124