
Siapakah yang lebih mempelopori kempen? Rakyat memilih kerana calon @ parti?

Hari terakhir Program Bicara Negarawan bersama YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Selepas sarapan, kami semua bersiap-siap untuk ke KLCC. Mulanya kami menjangkakan akan ke tingkat 84 KLCC melihat pejabat Tun.
Tetapi, kami hanya ke tingkat 42, di jejantas. Sebenarnya itu pun sudah cukup baik. Para pelawat hanya dibenarkan untuk ke jejantas di tingkat 41. Baru aku tahu sebenarnya jejantas itu 2 tingkat. Tingkat 42 adalah untuk pekerja-pekerja di KLCC dan juga pelawat-pelawat istimewa. Tun juga sempat untuk melapangkan masa bersama kami dan beliau juga menerangkan tentang pembinaan KLCC. Selepas lawatan ke KLCC, maka berakhirlah Program Bicara Negarawan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Seperti yang dikatakan, paginya aku ada periksa EAP (English for Academic Purposes). Tetapi bagi sahabat-sahabat yang lain, paginya mereka ada Lawatan berpandu ke Kompleks Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya dan Majlis Taklimat peranan Yayasan Kepimpinan Perdana bertempat di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana.
Aku hanya sempat sampai ke sesi pengumuman pemenang. Mereka adalah Jared (UTP), Vincent (USM Pulau Pinang), Bala (UPSI), Hazman (UTM Skudai) dan Farhan (UIAM) dengan Farhan sebagai peserta terbaik. UTP memenangi kategori universiti terbaik dan Aimi mendapat anugerah khas. Aku kurang pasti dengan anugerah universiti terbaik dan anugerah khas. Ramai menjangkakan yang universiti terbaik adalah untuk peserta-peserta satu universiti yang aktif dalam program. Sekiranya pemenang dikira berdasarkan jumlah peserta terbanyak, maka UTP telah menang pada hari pertama mereka menjejakkan kaki ke Awana Genting Highland kerana 6 orang peserta daripada UTP telah terpilih dan aku merasakan, kuantiti sepatutnya bukan menjadi faktor utama dalam pemilihan universiti terbaik (boleh rujuk buku karangan Dr. Yusuf al-Qadhrawi, Fiqh Awlawiyyat – Fiqh Keutamaan bab ‘Keutamaan Kuantiti ke atas Kuantiti’). Tetapi aku tahu, mahasiswa UTP semestinya adalah mahasiswa yang terpilih. Bukan semua sewenang-wenangnya nak masuk UTP. Begitu juga bagi kategori anugerah khas. Ramai yang terkejut apabila penganjur dengan tiba-tiba mengumumkan anugerah tersebut. Aku merasakan sama seperti anugerah universiti terbaik.
Pemenang merupakan ahli Kelab Karisma di bawah JASA. Sekiranya ini mainan politik JASA, maka salah seorang daripada mereka telah menang pada hari pertama mereka menjejakkan kaki di program. Aku sebenarnya tertanya-tanya ‘Karisma’ yang mana satu pulak ni? Samakah Karisma di bawah JIM dan UIA? Mereka tidak sama. Sebab itulah Karisma di bawah UIA telah ditukarkan nama kepada INSPIRE kerana banyak sangat Karisma. Karisma JASA seperti anak angkat JASA (mungkin protégé-protégé penyokong dasar-dasar kerajaan) di bawah Ustaz Adenan, Pengerusi Bina Insan (yang juga bekas mahasiswa UIAM). Walau bagaimanapun, Ustaz Adenan menyatakan UIAM ahli yang paling sedikit di universiti di Malaysia yang lebih kurang 60 orang.
Selain IPTA dan IPTA, Karisma JASA turut dijemput? Bagaikan sebuah universiti di Malaysia. Majlis penutup turut dihadiri oleh universiti-universiti yang telah ditubuhkan Kelab Karisma JASA termasuk UIAM. Komen pemenang? Untuk memilih 5 peserta terbaik dan seorang yang paling terbaik dalam masa 3? Faktor mana yang akan dinilai? Memang penganjur ada menyatakan dari segi disiplin, keterampilan, dalaman dan sebagainya. Tetapi realiti hidup manusia, yang paling menonjol, pasti mempunyai peluang yang lebih cerah. Pandai bercakap !!! Aku merasakan, untuk melahirkan individu yang lebih baik daripada Tun, banyak aspek perlu dinilai. Siapakah yang terbaik ?? Pasti cerita Sultan Muhammad al-Fatih yang sepatutnya dijadikan teladan, pemuda yang berjaya menawan Kota Konstantinapol pada umur 19 tahun. Pada sebelah petangnya, kami pergi melawat ke kilang Proton tapi sayangnya kami sampai lewat dan tak sempat nak tengok bagaimana operasi di Proton.
Seperti hari sebelumnya, selepas solat ‘Subuh berjemaah’ dan senam robik, sesi 3 bermula dengan “Bengkel visi Gagasan 1 Malaysia & pencapaian Wawasan 2020 dari perspektif politik, ekonomi, agama & kaum” dikelolakan oleh Dr. Fazley Yaakob.
Peserta dibahagikan 5 kumpulan untuk membentangkan aspek-aspek tersebut. Tentunya persembahan terbaik hasil kerja bengkel oleh kumpulan aku dengan bentuk sketsa daripada idea Bakri, UTP manakala kumpulan-kumpulan lain seperti biasa menggunakan kertas mahjong. Sempatlah aku berlakon sebagai pak cik tua yang ditanyakan soalan apa yang pak cik tahu tentang 1 Malaysia.
Aku pun selaku orang tua pun jawab la “Yang pak cik tahu kat dunia ni Malaysia ada satu jer. Ke ada dua?”. Boleh la kan nak berlakon sikit-sikit ;-)Selepas pembentangan, kami semua bersiap-siap untuk check-out dan bertolak ke Hotel Impiana, KLCC. Pada sebelah malamnya, Dr. Fazley menjalankan sesi ilmu “Karisma dan ciri-ciri kepimpinan seorang pemimpin agung Tun Dr. Mahathir Mohamad”. Sebenarnya sesi ilmu yang dikatakan ini adalah mock Suara Siswa. Kami diberikan peluang menjadi moderator, panel dan tetamu jemputan dalam Suara Siswa. Panel jemputan dijemput ayah Dr. Fazley, Dato’ Yaakob yang juga mantan Duta Malaysia ke Indonesia.
Semestinya para peserta dapat menjalankan sesi tersebut dengan baik sekali, dengan ramai yang boleh bercakap, wakil-wakil MPP, persatuan dan kelab yang aktif dan tidak lupa juga, pendebat-pendebat universiti. “Inilah kali pertama abang tengok panel-panel yang memang boleh bercakap daripada 2 musim Suara Siswa sebelum ini”, kata penerbit Suara Siswa, abang Shahzil. Kemungkinan juga, peserta ini yang akan dijemput untuk Suara Siswa musim baru ini bagi menggantikan MPP. Ini bermakna, MPP-MPP sebelum ini kebanyakan tak pandai bercakap la kan. Bagi aku, itu bukan satu masalah. Adakah ‘pandai’ bercakap menjadi kriteria utama untuk menjadi MPP atau pemimpin mana-mana organisasi? Jangan jadi seperti orang politik yang terlampau pandai bercakap sehingga tidak tahu fakta dan auta (dalam HOT fm ;-)), retorik sedangkan kebajikan kawasan sendiri terabai. Kami bekerja dengan massa dan masyarakat universiti dan cuba sedaya upaya untuk mengaplikasikan ilmu kepada amal. Selepas sesi tersebut, Tuan Syed mengadakan semacam sesi soal jawab. Pada awalnya, aku sudah nampak siapakah yang bakal menjadi 5 yang terbaik apabila soalan ditujukan kepada mereka yang agak menonjol dalam program kali ini. Tetapi, mungkin sudah terlampau ramai yang ditanya sehingga semua 52 orang peserta ditanya. Aku tak dapat lama kerana kena balik ke UIA dengan Dalila kerana ada peperiksaan (EAP) pada pagi Isnin. Komen aku pada hari ketiga, program ini lagi hebat daripada BTN !! Walaupun telah dikatakan program seperti ini bukan untuk mendewakan Tun tetapi sememangnya ia nampak seperti demikian. Apabila diajukan soalan, semuanya memuji dan tiada satu pun kritikan semasa kepimpinan Tun 22 tahun. Adakah semua yang dilakukan semasa Tun memegang tampuk pemerintahan, tiada sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Tun? Nampaknya, penganjur program ingin memprogramkan minda-minda mahasiswa untuk berfikiran di dalam kotak, tidak lagi kritikal dan lantang menyatakan sesuatu yang di luar kebiasaan. Kita tidak mungkin mampu untuk lahirkan individu yang sama seperti Tun kerana susuk tubuh kita sudah berbeza apatah lagi persekitaran semasa kita membesar. Tetapi mahasiswa sekarang suatu masa nanti mampu untuk menjadi lebih baik daripada Tun sekiranya kita tidak mengabaikan aspek dalaman mahasiswa, bukan sahaja IQ (intellectual quotient), tetapi juga EQ (emotional), SQ (spiritual), PQ (physical). (sekarang ini makin bertambah _Q nya - disyorkan untuk membaca ESQ karangan Ary Ginanjar atau pun The 8th Habit, From Effectiveness to Greatness tulisan Stephen R. Covey ada disebutkan sedikit).
Hari bermula dengan solat Subuh berjemaah di Dewan Enggang yang telah di ubah suai untuk solat. Tapi biasalah, ‘peserta terbaik seluruh universiti Malaysia’, solat Subuh pun belum tentu apatah lagi Subuh berjemaah. Lebih kurang pukul 7 pagi, semua berkumpul untuk morning-walk sampai ke padang untuk senaman robik.
Selepas senam robik, sarapan dan menyiapkan diri untuk hari yang panjang bermula pukul 9 pagi. Sesi 2 dijemput 3 orang penceramah dengan tajuk “Keunggulan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin negara dari perspektif politik, kewartawanan dan ekonomi”.
Penceramah yang dijemput merupakan individu yang rapat dan terlibat secara langsung dengan dunia Tun, YBhg. Tan Sri Sanusi Junid (yang juga bekas Presiden UIAM, 2000-2008 sebelum beliau dipecat selepas Tun keluar daripada UMNO – kenyataan beliau semasa sesi 2 dengan nada gurau), YBhg. Tan Sri Khalid Abdullah (Tokoh Maal Hijrah 1430 peringkat negeri Kedah dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Malaysia pada tahun 1985) dan YBhg. Datuk A. Kadir Jasin (Ketua Editor Syarikat Penerbitan Majalah, Berita Publishing Sdn Bhd. dan juga mantan Kumpulan Editor NST Sdn Bhd dan Kumpulan Ketua Editor, NSTP Bhd antara tahun 1988 hingga 2000) dan dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA yang juga adik beradik dengan Tan Sri Musa Tan Sri Hassan, Ketua Polis Negara (juga adik-beradik dengan Dato’ Jalaluddin Tan Sri Hassan).
Sesi yang amat menarik apabila penceramah seperti menceritakan hal-hal rahsia dan dalaman kerajaan. Tentunya penceramah yang kelakar adalah Tan Sri Sanusi Junid. Tan Sri Sanusi juga menceritakan perihal Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa dimentorkan sendiri oleh beliau di MCKK sehinggalah semasa Dato’ Seri menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tentunya sebagai orang kuat kerajaan, kisah Anwar Ibrahim tidak begitu sedap didengar cuma bagi peserta yang tak cakna dengan keadaan politik semasa akan cepat terpengaruh. Bukan ingin menyokong sesiapa, tetapi untuk mendengar cerita daripada satu pihak sahaja adalah tidak adil. Sesi petang adalah bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan ucapan perdana bertajuk “Cabaran mengurus negara dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia dari aspek disiplin, ilmu, politik & pertanggungjawabkan”.
Sesi yang menarik dan sudah tentu soalan daripada peserta juga terlampau banyak dan tidak semua peserta sempat untuk mengajukan soalan kepada YABhg. Tun. Selepas sesi dengan Tun, ada minum petang berserta dengan persembahan seni oleh para peserta.

Pada malam harinya, tiada sebarang aktiviti khas hanyalah BBQ dan Majlis Santai Mesra JASA.

Program bermula dengan para peserta berkumpul di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berhampiran dengan stesyen komuter Bank Negara. Para peserta bertolak dalam pukul 3 ke Hotel Awana, Genting Highland dan sampai lebih kurang pukul 4.30 petang. Seperti biasa, apabila sampai, para peserta mendaftar dan diberi sehelai jaket JASA, sehelai t-shirt dan 1 sut pakaian sukan. Taklimat program diberikan oleh Dr. Fazley Yaakob, Pengetua Program dan Tuan Syed Saifuddin Syed Harman sebagai Pengerusi Penyelaras Program. Selepas berta’aruf, Dr. Fazley memberikan ujian IQ (ujian sebenarnya aku lebih suka panggil ujian sejarah!!). Ade ke patut tanya soalan sejarah Malaysia siap dengan tarikh lagi. Buka-buka soalan, tengok soalan sejarah, haha, confirm la dah tau tak boleh nak jawab. Dah 6 tahun tinggal sejarah dengan jawapan yang lebih kurang sama. Selepas ujian, ada sedikit jamuan petang dan check-in bilik.
Bilik yang mampu memuatkan seramai 4 orang tetapi hanya didiami oleh 2 orang. Malamnya ada tayangan video bertajuk “Mahathir” dan sesi 1 bertajuk “Hubungan kaum dalam era pemerintahan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, realiti masa kini dan harapan pada masa akan datang” oleh Dr. Siva Murugan A/L Pandian, USM. Memandangkan tajuk berkaitan dengan hubungan kaum, jadi aku tanya lah penceramah mengenai pendapat beliau mengenai sekolah jenis kebangsaan dan sekolah satu aliran. Aku berpendapat, untuk menghargai persamaan dan menghormati perbezaan antara kaum, semuanya bermula daripada sekolah rendah. Hapuskan sekolah jenis kebangsaan dan perkasakan sekolah kebangsaan. Beliau bersetuju tetapi dengan syarat ahli politik terutamanya kena melepaskan kepentingan parti dan peribadi masing-masing.
Kumpulan 5 yang disertai seramai 37 MPP seluruh Malaysia mencadangkan 14 usul dan 1 usul yang telah dipersetujui bersama ialah "Suara Perwakilan Mahasiswa di Peringkat Parlimen". Sebelum kumpulan 5 membentangkan perbincangan kertas kerja, Presiden MPP UIAM mencadangkan agar masa perbincangan dipanjangkan kerana masa yang diberikan oleh pihak pengurusan amat singkat sedangkan isu dan usul yang dibincangkan melibatkan isu nasional dan memerlukan perbincangan serta perbahasan yang matang. Presiden MPP UIAM juga meminta agar pihak pengurusan membentangkan semula isu-isu yang telah dibangkitkan pada MPPK yang lepas dan kemukakan juga usul-usul yang masih belum selesai dan usul-usul yang telah diluluskan. Selain itu juga, Presiden MPP UIAM meminta supaya usul-usul lepas yang telah diluluskan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Hal ini kerana, rata-rata usul yang dibentangkan oleh kumpulan 1 hingga 4 adalah usul-usul yang agak sama dan berbangkit (mendapat maklum balas daripada mantan MPP Sesi 2008/2009). Antaranya adalah isu kad pelajar dan potongan harga untuk pengangkutan masalah sosial dan akhlak serta isu pembangunan di luar bandar (Sabah dan Sarawak).
Terdapat juga isu-isu yang agak menarik yang dibahaskan. Antaranya adalah potongan harga tambang penerbangan dan isu mengenai pertahanan negara. Kumpulan 5 dan 6 pula bersependapat untuk mengusulkan "Wakil Mahasiswa dalam Parlimen" (kumpulan 6 mencadangkan supaya menggunakan istilah Senator) supaya dapat menyelesaikan masalah-masalah berbangkit. Hal ini juga dapat memastikan suara mahasiswa didengar, peranan mahasiswa diiktiraf dan isu mahasiswa diselesaikan dengan cara yang berorentasikan mahasiswa. Walaupun usul ini memerlukan perincian yang sedalamnya, tetapi ia adalah satu permulaan yang baik ke arah mahasiswa merdeka. Sebarang cadangan, pendapat atau komen boleh diutarakan pada entri ini. Sekian daripada saya.
© Copyright by JEBAT| MagzStyle V1.1 Template by Free Tips 4U | Power by Blogger | This blog is best viewed on Chrome and FireFox



