Dikuasakan oleh Blogger.

Services

Services
Sound & Light System, Event Management, Recording, Studio, Books, Boutique, Photography, Wedding Planner, Transportation, Videography, Designing & Printing. Interested with the services?? Kindly text to 012-5829252.

Aku

Jurutera di KTF Engineering (M) Sdn. Bhd. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan (Komunikasi) di Kulliyyah Kejuruteraan. Tokoh Pelajar Putera 2004, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Pulau Pinang. Melibatkan diri secara aktif dalam gerakan mahasiswa dalam dan luar kampus. Mantan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan 2006/2007 (Matrikulasi UIAM), mantan Pengerusi Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2008/2009 dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi sesi 2009/2010. Email : hang_jebat25@yahoo.com

Followers

Ke arah negara Malaysia yang selamat

Rabu, 29 September 2010

Kejadian jenayah di Malaysia sejak akhir-akhir ini kerap dipaparkan kepada umum melalui saluran televisyen, akhbar mahupun internet. Laporan dan berita yang dipaparkan oleh media menunjukkan peningkatan kejadian jenayah yang tinggi di negara ini terutamanya jenayah yang melibatkan pembunuhan dan rompakan bersenjata. Kes jenayah yang dilaporkan juga termasuklah kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan orang kenamaan.

Peningkatan kadar jenayah di negara ini ternyata menimbulkan kebimbangan kepada banyak pihak termasuklah pihak kerajaan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, PDRM dan masyarakat. Kebimbangan di kalangan penduduk terhadap kebarangkalian menjadi mangsa jenayah adalah tinggi. Sebagai rakyat Malaysia, saya khuatir jika indeks jenayah ini semakin meningkat, rakyat akan berasa tidak selamat dan merasakan keselamatan mereka terancam. Justeru, mereka cenderung untuk mempertikaikan tahap keselamatan negara dan merasakan Malaysia sebagai sebuah Negara yang sudah tidak selamat untuk didiami.

Oleh itu, pengkajian tentang faktor dan kesan terhadap peningkatan kadar jenayah ini hendaklah dilakukan dengan segera dan teliti bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang aman dan selamat. Penyelidikan dan pengkajian secara mendalam terhadap sistem keselamatan dan undang-undang di Malaysia adalah amat relevan dan perlu dilaksanakan. Kesan buruk bakal dihadapi oleh negara jika keadaan ini berterusan termasuklah kesan kepada ekonomi, sosial, hubungan antarabangsa, politik dan pendidikan. Ianya ternyata akan merugikan masa depan Malaysia dan membantutkan hasrat kerajaan sepertimana yang digariskan dalam RMK10, teras strategik kelima dalam iaitu Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup. Terma ini ternyata penting bagi mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam .

Jika dilihat dalam konteks dan skop yang lebih luas, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan PDRM perlu bertindak dengan lebih bijak dan pantas dalam menangani permasalahan ini. Pertamanya, saya merasakan perlunya kerajaan mempertingkatkan tahap keberkesanan sistem hukuman yang sedia ada yang dikenakan ke atas jenayah yang dilakukan terutamanya jenayah berat, terutamanya jenayah dadah. Sebagai contoh, tempoh hukuman penjara yang dikenakan kepada penjenayah. Pada pendapat saya, tempoh hukuman penjara yang dikenakan perlu dipanjangkan. Tempoh tahanan dan hukuman yang sedia ada perlu dikaji secara lebih teliti terhadap keberkesanannya memandangkan kadar jenayah negara di tahap yang serius. Langkah ini adalah untuk memupuk kesedaran dan rasa gerun dalam diri penjenayah mahupun masyarakat.

Selain itu, saya berpendapat bahawa, langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menurunkan kadar jenayah di negara ini adalah dengan memperketatkan sistem jaminan yang diberikan kepada penjenayah. Wang jaminan yang dikenakan kepada penjenayah sebagai denda dan hukuman dilihat kurang memberi kesan dan kesedaran yang mendalam kepada penjenayah tersebut. Ini kerana mereka hanya perlu membayar sejumlah wang sebagai hukuman terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Ia tidak menjadi masalah kepada penjenayah terutamanya penjenayah yang melibatkan golongan elit. Jadi, tidak hairanlah jika penjenayah yang sama ditangkap berulang kali kerana mereka mampu membayar wang jaminan. Oleh itu, saya melihat sistem jaminan yang sedia ada perlu diketatkan sebagai usaha untuk mengurangkan kejadian jenayah di Malaysia.

Disamping itu, pihak Kementerian Penerangan Malaysia juga hendaklah memperbanyakkan maklumat dan informasi tentang kesan buruk dan hukuman yang akan dikenakan terhadap penjenayah yang melakukan jenayah terutamanya jenayah berat. Segala maklumat dan informasi berkenaan hukuman dan kesan buruk perlu disampaikan kepada masyarakat dalam usaha memupuk kesedaran di kalangan mereka. Kualiti pendidikan di dalam penjara dan pusat pemulihan akhlak juga hendaklah dititikberatkan oleh semua pihak terutamanya pihak penjara. Penerapan kesedaran tentang jenayah yang dilakukan haruslah dilakukan dengan lebih agresif dan bijak. Kesemua langkah ini tidak akan memberi kesan positif tanpa kerjasama daripada semua pihak. Justeru, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia supaya memberi kerjasama kepada pihak yang berwajib dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah. Saya percaya, masa depan yang cerah menanti Malaysia jika kadar jenayah dapat dikurangkan.


Read More...

Malaysia Merdeka dalam Acuan Anak Muda

Rabu, 15 September 2010

Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Bermula detik itu, Tanah Melayu diberikan mandat untuk mentadbir negara dalam acuan dan kepimpinan anak Melayu. Pelbagai sistem pentadbiran dan sosial negara di wujud dan dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Kesungguhan dan ketabahan golongan terdahulu memperjuangkan dan membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah wajar dihayati dan difahami oleh seluruh warganegara. Semangat waja dan keberanian ini seharusnya terus mengalir dalam diri setiap golongan muda yang ada pada hari ini.

Selepas dibebaskan oleh kuasa penjajah dan diberikan hak untuk mentadbir negara sendiri, Tanah Melayu kemudiannya melakarkan sejarah kedua buat negara apabila mula membentuk Negara Malaysia pada tarikh 16 September 1963 melalui penyertaan bersama Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura. Hari yang bersejarah ini merupakan momentum pertama kearah kejayaan Malaysia yang seterusnya dikenali oleh seluruh masyarakat dunia. Negara yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu kini telah bertukar wajah sebagai sebuah negara yang berdaulat, iaitu Malaysia.

Kemerdekaan sesebuah negara memberi kesan yang sangat besar kepada setiap warganegara termasuklah rakyat Malaysia. Kemerdekaan yang menyeluruh dalam semua aspek adalah amat perlu untuk menjadikan dan memastikan nilai kemerdekaan dan kebebasan tetap tersemat dalam diri setiap warganegara. Malah, semangat patriotisme dan cintakan negara yang diterapkan juga seharusnya mekar dalam jati diri semua rakyat. Namun, semangat patriotisme dan cintakan negara pada hari ini dilihat semakin luntur di dalam jiwa anak muda Malaysia. Buktinya jelas disini, apabila tibanya hari kemerdekaan Negara ramai anak muda Malaysia menghabiskan waktu cuti yang diisytiharkan Negara dengan perkara-perkara yang amat merugikan mereka dan masa depan Negara. Mereka mengganggap cuti yang diberikan itu hanyalah sebagai satu hadiah untuk mereka bersuka ria, melepak, menyertai program hiburan yang melampaui batasan agama, adat dan budaya. Ternyata, anak muda Malaysia hari ini telah jelas terpesong didalam memahami konsep sebenar hari kemerdekaan yang diberikan Negara. Hal ini amat membimbangkan kerana kelangsungan kemerdekaan Malaysia mungkin akan tergendala jika keadaan ini berlanjutan. Jika semangat sebenar kemerdekaan itu tidak disemai dan diperkasakan, saya bimbang seandainya sifat sensitiviti terhadap Malaysia dan tanggungjawab untuk menjaga dan menyelamatkan Malaysia akan terhakis. Bersempena dengan Hari Malaysia, mulai tahun 2010, kerajaan Malaysia mengisytiharkan 16 September sebagai cuti am di semua negeri di seluruh Malaysia dan seharusnya sambutan Hari Malaysia ini disambut dengan penuh kesyukuran dan tidak dicemari dengan masalah sosial.

Sebagai anak muda Malaysia yang berjiwa besar, saya ingin melihat Malaysia merdeka dalam semua aspek pada masa akan datang. Seluruh warnagenara Malaysia akan meraikannya dengan penuh rasa bangga. Saya mengharapkan merdekanya Malaysia dari penyakit-penyakit sosial terutamanya yang melibatkan golongan muda. Saya begitu berbesar hati untuk melihat keadaan ini dan merasakan tidak mustahil anak muda Malaysia akan dimerdekakan dari penyakit sosial jika usaha yang serius kearah ini bermula sekarang. Pada masa itu, kita berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang merdeka dari segi akhlak dan gaya hidup.

Selain itu, saya mengimpikan merdekanya Malaysia dari sudut pemikiran dan mentaliti negatif. Merdeka dari sudut pemikiran ini bermaksud apabila kita berjaya memerdekakan pemikiran anak-anak Malaysia daripada ideologi dan dotrinisasi yang salah dan mengarut terutamanya dari barat. Saya yakin, pemikiran yang matang dan berwibawa mampu kehadapan dan berdaya saing untuk mentadbir Malaysia pada masa hadapan. Langkah pembersihan ideologi dan pemikiran tinggalan penjajah seperti Melayu lemah, Melayu mudah lupa dan sebagainya haruslah dilakukan segera dan menyeluruh untuk membentuk dan membina jati diri anak anak Malaysia yang berkeyakinan .

Dalam konteks pendidikan pula, sebagai golongan mahasiswa, erti merdeka yang sebenar adalah apabila kita benar-benar memaknakan pendidikan yang ada demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Setiap mahasiswa mestilah mendalami dan menjiwai setiap jurusan yang mereka pelajari bagi menyumbang kepada pembangunan dan masa depan Malaysia. Selain itu, erti merdeka seorang mahasiswa ialah apabila mahasiswa berjaya membentuk pemikiran dan peribadi yang unggul dan tidak berada di kotak pemikiran yang sempit yang hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Justeru, saya ingin mengajak golongan mahasiswa untuk sama-sama memerdekaan diri bagi melahirkan mahasiswa yang bertamadun, berilmu, berketerampilan dan mempunyai idealisme yang mantap.

Akhirnya, saya merasakan sudah tiba masanya warganegara Malaysia terutamanya anak muda untuk sama-sama menghayati dan memaknakan erti sebenar kemerdekaan dan hari Malaysia. Saya ingin mengajak dan mencabar anak muda Malaysia untuk sama-sama bersemangat bagi mewujudkan dan membentuk Malaysia baru dibawah sistem yang unggul yang mana tidak perlu bergantung kepada sistem barat. Tidak mustahil kita akan mendahului barat dalam ekonomi, sistem pentadbiran dan teknologi pada masa hadapan kerana saya percaya, masa depan yang cerah menanti kita jika kita benar-benar merealisasikan semua ini.




Read More...

Salam Lebaran Aidilfitri 1431H

Khamis, 9 September 2010
ADAB-ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI


Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.

Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.


http://www.facebook.com/video/video.php?v=431722267189&comments&ref=notif&notif_t=video_comment_tagged#!/video/video.php?v=431722267189

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)

3. Mandi Sunat Aidilfitri

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."

(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin ;-)

http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/ic2_1999.htm

Read More...

Penyerahan Memorandum di Kedutaan Besar Republik Indonesia

Sabtu, 4 September 2010













|Jumaat|3 September 2010|233 Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur|

|Penyerahan

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PERLAKUAN MENJEJASKAN HUBUNGAN BAIK MALAYSIA - INDONESIA|


|Ditemual bual oleh RTM 1 dan wartawan NST|Disiarkan pada Warta Tengah Malam RTM 1, 4 September 2010, 12 tengah malam|
Read More...
banner125125 d'famous_125x125 ads_box ads_box ads_box
 

Politik

Ikon

Berita