Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Bermula detik itu, Tanah Melayu diberikan mandat untuk mentadbir negara dalam acuan dan kepimpinan anak Melayu. Pelbagai sistem pentadbiran dan sosial negara di wujud dan dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Kesungguhan dan ketabahan golongan terdahulu memperjuangkan dan membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah wajar dihayati dan difahami oleh seluruh warganegara. Semangat waja dan keberanian ini seharusnya terus mengalir dalam diri setiap golongan muda yang ada pada hari ini.
Selepas dibebaskan oleh kuasa penjajah dan diberikan hak untuk mentadbir negara sendiri, Tanah Melayu kemudiannya melakarkan sejarah kedua buat negara apabila mula membentuk Negara Malaysia pada tarikh 16 September 1963 melalui penyertaan bersama Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura. Hari yang bersejarah ini merupakan momentum pertama kearah kejayaan Malaysia yang seterusnya dikenali oleh seluruh masyarakat dunia. Negara yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu kini telah bertukar wajah sebagai sebuah negara yang berdaulat, iaitu Malaysia.
Kemerdekaan sesebuah negara memberi kesan yang sangat besar kepada setiap warganegara termasuklah rakyat Malaysia. Kemerdekaan yang menyeluruh dalam semua aspek adalah amat perlu untuk menjadikan dan memastikan nilai kemerdekaan dan kebebasan tetap tersemat dalam diri setiap warganegara. Malah, semangat patriotisme dan cintakan negara yang diterapkan juga seharusnya mekar dalam jati diri semua rakyat. Namun, semangat patriotisme dan cintakan negara pada hari ini dilihat semakin luntur di dalam jiwa anak muda Malaysia. Buktinya jelas disini, apabila tibanya hari kemerdekaan Negara ramai anak muda Malaysia menghabiskan waktu cuti yang diisytiharkan Negara dengan perkara-perkara yang amat merugikan mereka dan masa depan Negara. Mereka mengganggap cuti yang diberikan itu hanyalah sebagai satu hadiah untuk mereka bersuka ria, melepak, menyertai program hiburan yang melampaui batasan agama, adat dan budaya. Ternyata, anak muda Malaysia hari ini telah jelas terpesong didalam memahami konsep sebenar hari kemerdekaan yang diberikan Negara. Hal ini amat membimbangkan kerana kelangsungan kemerdekaan Malaysia mungkin akan tergendala jika keadaan ini berlanjutan. Jika semangat sebenar kemerdekaan itu tidak disemai dan diperkasakan, saya bimbang seandainya sifat sensitiviti terhadap Malaysia dan tanggungjawab untuk menjaga dan menyelamatkan Malaysia akan terhakis. Bersempena dengan Hari Malaysia, mulai tahun 2010, kerajaan Malaysia mengisytiharkan 16 September sebagai cuti am di semua negeri di seluruh Malaysia dan seharusnya sambutan Hari Malaysia ini disambut dengan penuh kesyukuran dan tidak dicemari dengan masalah sosial.
Sebagai anak muda Malaysia yang berjiwa besar, saya ingin melihat Malaysia merdeka dalam semua aspek pada masa akan datang. Seluruh warnagenara Malaysia akan meraikannya dengan penuh rasa bangga. Saya mengharapkan merdekanya Malaysia dari penyakit-penyakit sosial terutamanya yang melibatkan golongan muda. Saya begitu berbesar hati untuk melihat keadaan ini dan merasakan tidak mustahil anak muda Malaysia akan dimerdekakan dari penyakit sosial jika usaha yang serius kearah ini bermula sekarang. Pada masa itu, kita berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang merdeka dari segi akhlak dan gaya hidup.
Selain itu, saya mengimpikan merdekanya Malaysia dari sudut pemikiran dan mentaliti negatif. Merdeka dari sudut pemikiran ini bermaksud apabila kita berjaya memerdekakan pemikiran anak-anak Malaysia daripada ideologi dan dotrinisasi yang salah dan mengarut terutamanya dari barat. Saya yakin, pemikiran yang matang dan berwibawa mampu kehadapan dan berdaya saing untuk mentadbir Malaysia pada masa hadapan. Langkah pembersihan ideologi dan pemikiran tinggalan penjajah seperti Melayu lemah, Melayu mudah lupa dan sebagainya haruslah dilakukan segera dan menyeluruh untuk membentuk dan membina jati diri anak anak Malaysia yang berkeyakinan .
Dalam konteks pendidikan pula, sebagai golongan mahasiswa, erti merdeka yang sebenar adalah apabila kita benar-benar memaknakan pendidikan yang ada demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Setiap mahasiswa mestilah mendalami dan menjiwai setiap jurusan yang mereka pelajari bagi menyumbang kepada pembangunan dan masa depan Malaysia. Selain itu, erti merdeka seorang mahasiswa ialah apabila mahasiswa berjaya membentuk pemikiran dan peribadi yang unggul dan tidak berada di kotak pemikiran yang sempit yang hanya menumpukan kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Justeru, saya ingin mengajak golongan mahasiswa untuk sama-sama memerdekaan diri bagi melahirkan mahasiswa yang bertamadun, berilmu, berketerampilan dan mempunyai idealisme yang mantap.
Akhirnya, saya merasakan sudah tiba masanya warganegara Malaysia terutamanya anak muda untuk sama-sama menghayati dan memaknakan erti sebenar kemerdekaan dan hari Malaysia. Saya ingin mengajak dan mencabar anak muda Malaysia untuk sama-sama bersemangat bagi mewujudkan dan membentuk Malaysia baru dibawah sistem yang unggul yang mana tidak perlu bergantung kepada sistem barat. Tidak mustahil kita akan mendahului barat dalam ekonomi, sistem pentadbiran dan teknologi pada masa hadapan kerana saya percaya, masa depan yang cerah menanti kita jika kita benar-benar merealisasikan semua ini.
2 comments:
Assalamualaikum..
Sebagai seorang siswa, NA sangat bersetuju dengan saudara penulis. Dalam menghadapi era globalisasi, semangat kepahlawanan masih relevan dan diperlukan. Semangat perjuangan dan tidak kenal menyerah perlu dikekalkan dan diwarisi oleh generasi masa kini terutamanya siswa dan siswi yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan. Kita lihat sahaja negara Jepun, bukan sahaja ia merupakan sebuah negara yang ‘gah’ dengan kedudukan ekonominya yang tinggi, malah sebagai sebuah negara yang mengeluarkan peralatan-peralatan serta kenderaan berteknologi tinggi. Semangat Bushido yang satu masa dahulu menjadi amalan para pahlawan samurai kini diamalkan oleh rakyatnya, terutama sekali di sektor korporat. Kita perlu mencontohi negara ‘matahari terbit’ ini jika kita benar-benar ingin merealisasikan Wawasan 2020 kerajaan.
"Kebebasan itu amat tinggi nilainya dan kita akan hanya terasa nilainya apabila ianya telah hilang." - Ho Chih Min.
Assalamualaikum..
Sebagai seorang siswa, NA sangat bersetuju dengan saudara penulis. Dalam menghadapi era globalisasi, semangat kepahlawanan masih relevan dan diperlukan. Semangat perjuangan dan tidak kenal menyerah perlu dikekalkan dan diwarisi oleh generasi masa kini terutamanya siswa dan siswi yang bakal menerajui kepimpinan masa hadapan. Kita lihat sahaja negara Jepun, bukan sahaja ia merupakan sebuah negara yang ‘gah’ dengan kedudukan ekonominya yang tinggi, malah sebagai sebuah negara yang mengeluarkan peralatan-peralatan serta kenderaan berteknologi tinggi. Semangat Bushido yang satu masa dahulu menjadi amalan para pahlawan samurai kini diamalkan oleh rakyatnya, terutama sekali di sektor korporat. Kita perlu mencontohi negara ‘matahari terbit’ ini jika kita benar-benar ingin merealisasikan Wawasan 2020 kerajaan.
"Kebebasan itu amat tinggi nilainya dan kita akan hanya terasa nilainya apabila ianya telah hilang." - Ho Chih Min.
Catat Ulasan