Amannya kurasakan,
Degupan jantungmu,
jantungku, Irama penuh syahdu,
Lirik yang amat menyentuh hati, “Harapan Tanpa Suara” oleh Habsah Hassan manakala lagunya pula dicipta oleh S.Atan. Usaha Utusan Malaysia yang mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen “Kami Prihatin” bermula pada 23 Mac 2010 lalu adalah satu usaha yang seharusnya dipuji. Kempen ini yang turut sama mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta stesen televisyen Astro Awani dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyasarkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menerapkan nilai-nilai luhur dan kasih sayang kepada bayi-bayi dan kanak-kanak. Timbalan Presiden, National Council of Women Organisation (NCWO), Faridah Khalid mengatakan bahawa punca masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh,
“They feel embarrassed for being pregnant and they are embarrassed to seek help from the people who cannot accept non-marriage pregnancies. I believe that some of the girls as far as possible do not want to terminate the lives of their babies,”
Sebagai langkah untuk membendung masalah ini daripada terus menular di dalam masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sanggup memikul tanggungjawab kepada bayi-bayi tersebut.
“Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu, bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima. Kalau tak nak, bagi saja pada kita!”
Demikian reaksi beliau, yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Persoalannya sekarang adalah, sampai bila rumah-rumah perlindungan mampu untuk membesarkan anak-anak yang tidak berdosa ini? Adakah punca sebenar masalah ini adalah kerana mereka yang terlibat malu untuk berhadapan dengan masyarakat kerana melahirkan anak luar nikah?
Saya selaku mahasiswa yang prihatin akan permasalahan ini, dengan yakin dan pasti mengatakan bahawa jawapan kepada persoalan di atas sebenarnya sudah termaktub di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun lampau lagi.
“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)”
(al-Israa' 17: 32)
Mahasiswa merasakan, kempen “Kami Prihatin Anda Jauhi Zina” seharusnya dipergiatkan. Sekiranya kita tidak mencegah permasalahan ini daripada akar umbi, maka ianya tidak akan pernah selesai. Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!
Mahasiswa juga seharusnya memainkan peranan yang lebih serius untuk membendung gejala tidak sihat ini. Ini bukan perkara remeh, kerana ianya melibatkan masa depan generasi muda pada hari ini dan juga pada masa akan datang.Menurut Puan Rosmawati Zainal, Pengarah Raudhatus Sakinah, sebuah institusi yang ditubuhkan dengan inisiatif Jemaah Islah Malaysia (JIM), tidak kurang daripada 30% penghuni cawangan Raudhatus Sakinah, adalah terdiri daripada pelajar IPT. Alangkah sedihnya melihat fakta sebegini yang mana telah “mencemarkan nama baik” insan-insan yang dikatakan golongan bijak pandai dan terpelajar. Hairan bukan? Dengan keputusan peperiksaan yang hebat, berjaya ketika di sekolah dan mampu menjejakkan kaki ke menara gading, namun mereka sebenarnya telah meletakkan akal di belakang kerana gagal mengawal nafsu.
Adakah rakan-rakan sekelas dan sebilik kita juga terlibat? Bagaimana dengan saudara-mara kita? Caknakah kita sebenarnya? Janganlah kita ini hanya sekadar pandai mendendangkan lagu yang merdu bunyinya sahaja tetapi tidak sensitif terhadap permasalahan yang timbul. Kempen “Kami Prihatin” tidak seharusnya sekadar disasarkan kepada ibu-ibu selepas melahirkan anak sahaja, bahkan sepatutnya difokuskan juga kepada anak-anak muda mengenai adab-adab atau batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sepertimana yang dianjurkan syarak atau lebih tepat lagi yang selaras dengan akhlak islamiyah. Semuanya sudah termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, maka janganlah kita ini lari daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam kerana apa yang digariskan itu sebenarnya adalah selari dengan fitrah manusia itu sendiri. Berpandulah kepada apa yang sepatutnya kerana sesungguhnya mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat.
Dimanakah ibu, dimanakah ayah,
Bonekakah atau manusia,
Anak tidak berdosa menjadi mangsa,
Oleh hawa nafsu yang serakah
0 comments:
Catat Ulasan