Dikuasakan oleh Blogger.

Services

Services
Sound & Light System, Event Management, Recording, Studio, Books, Boutique, Photography, Wedding Planner, Transportation, Videography, Designing & Printing. Interested with the services?? Kindly text to 012-5829252.

Aku

Jurutera di KTF Engineering (M) Sdn. Bhd. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan (Komunikasi) di Kulliyyah Kejuruteraan. Tokoh Pelajar Putera 2004, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Pulau Pinang. Melibatkan diri secara aktif dalam gerakan mahasiswa dalam dan luar kampus. Mantan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan 2006/2007 (Matrikulasi UIAM), mantan Pengerusi Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2008/2009 dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi sesi 2009/2010. Email : hang_jebat25@yahoo.com

Followers

PTPTN (www.ptptn.gov.my)

Jumaat, 26 November 2010

PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL
JAWAPAN RINGKAS KEPADA PERTANYAAN BERKENAAN TAWARAN PENUKARAN UJRAH

A. PERMOHONAN/TAWARAN

1. Siapakah yang layak untuk menerima tawaran Ujrah 1%?

Jawapan : Tawaran perubahan pinjaman sedia ada (3%) kepada pembiayaan Ujrah 1%layak diterima oleh peminjam-peminjam sedia ada yang masih mempunyai baki pinjaman PTPTN pada 1 Jun 2008 kecuali bagi kes-kes berikut :

i. Telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang

ii. Peminjam yang telah melanggar perjanjian pinjaman terdahulu – (batal pinjaman, gagal pengajian, berhenti pengajian dan mendapat penaja lain)

2. Saya masih belajar dan masih menerima pengeluaran pinjaman PTPTN. Bilakah saya boleh menerima tawaran Ujrah?

Jawapan : Anda akan ditawarkan Ujrah sebaik tamat pengajian.

3. Saya mempunyai baki WPP sahaja. Adakah saya layak untuk memohon?

Jawapan : Anda tidak layak untuk ditawarkan Ujrah.

4. Apakah tindakan yang perlu diambil bagi membolehkan saya mendapat tawaran Ujrah?

Jawapan : Peminjam perlu mengambil langkah-langkah berikut :

i. Membuat pendaftaran melalui laman web PTPTN (www.ptptn.gov.my) dengan menggunakan no kad pengenalan dan memasukkan alamat e-mel peminjam;

ii. Mengemas kini maklumat yang diperlukan melalui link yang dihantar ke alamat e-mel peminjam yang didaftarkan;

iii. Mencetak dan menandatangan dokumen tawaran yang dihantar ke alamat e-mel peminjam; dan

iv. Menghantar dokumen tawaran yang lengkap (sila rujuk panduan
pengisian) kepada PTPTN dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh tawaran

5. Bilakah peminjam boleh mula membuat pendaftaran dan pengemaskinian maklumat?

Jawapan : Pendaftaran dan pengemaskinian boleh dibuat oleh peminjam mengikut tahun kelulusan pinjaman seperti jadual berikut :

Tahun Kelulusan Pinjaman                          Tarikh Mula Kemaskini

2006, 2007 dan 2008                                     20 September 2010
2003, 2004 dan 2005                                        1 November 2010
2002 dan tahun-tahun sebelumnya                1 Disember 2010

6. Bilakah PTPTN akan mengeluarkan dokumen tawaran Ujrah?

Jawapan : Dokumen tawaran akan dikeluarkan pada 10hb setiap bulan. Bagi peminjam yang telah mendaftar dan mengemas kini pada bulan semasa, dokumen tawaran akan dikeluarkan pada 10hb bulan yang berikutnya.

7. Apakah asas penawaran Ujrah?

Jawapan : Asas yang digunakan adalah seperti berikut :

i. Jumlah pembiayaan : Berdasarkan jumlah baki hutang pada 1 Jun 2008

ii. Tarikh kuatkuasa : 1 Jun 2008

iii. Tempoh bayaran balik baru : Baki tempoh bayaran balik pada 1 Jun 2008 berdasarkan pinjaman asal

8. Apakah yang dimaksudkan dengan baki hutang pada 1 Jun 2008?

Jawapan : Baki hutang pada 1 Jun 2008 bermaksud jumlah prinsipal dan juga kos pentadbiran yang masih belum dijelaskan, mengambil kira semua bayaran balik yang telah dibuat sebelum 1 Jun 2008.

9. Bagaimanakah Ujrah dikira?

Jawapan : Jumlah Ujrah = Jumlah Pembiayaan Pokok x Kadar Ujrah (1%) x tempoh bayaran balik (tahun)

10. Saya telah cuba mendaftar mengikut jadual yang telah ditetapkan tetapi telah diminta mengemaskini maklumat selepas 1 Januari 2011.

Jawapan : Semakan terperinci perlu dibuat ke atas akaun pinjaman sedia ada anda bagi mengelakkan kesilapan tawaran. Walau bagaimanapun tawaran yang akan diberikan masih berkuatkkuasa pada 1 Jun 2008.

B. BAYARAN BALIK/PENGUATKUASAAN

1. Saya telah diluluskan penangguhan bayaran balik, adakah saya layak menerima tawaran
Ujrah?


Jawapan : Peminjam yang telah diluluskan penangguhan layak menerima tawaran Ujrah.

2. Setelah Ujrah ditawarkan, saya masih tidak mampu membuat pembayaran balik. Adakah saya boleh membuat penangguhan sekali lagi?

Jawapan : Peminjam boleh mengemukakan permohonan penangguhan. Walau bagaimanapun, keputusan permohonan penangguhan tertakluk kepada budi bicara PTPTN.

3. Saya telah dikenakan tindakan penguatkuasaan tetapi masih belum dikenakan tindakan mahkamah, adakah saya layak untuk memohon dan menerima tawaran ini?

Jawapan : Peminjam layak untuk menerima tawaran Ujrah ini selepas menjelaskan tunggakan dan sebarang kos penguatkuasaan yang telah dikenakan kepada peminjam. Bagi membolehkan tawaran dibuat, peminjam perlu memaklumkan kepada PTPTN selepas pembayaran dibuat.

4. Perlukah saya meneruskan bayaran balik sepanjang tempoh proses penawaran Ujrah ini?

Jawapan : Peminjam adalah dikehendaki untuk terus membuat pembayaran balik. Sebarang pembayaran balik akan diselaraskan ke akaun pembiayaan Ujrah.

5. Saya telah pun mula membuat bayaran balik secara potongan gaji melalui LHDN. Apa yang akan berlaku kepada potongan gaji saya?


Jawapan : PTPTN akan membuat pindaan amaun potongan gaji dengan pihak LHDN. Maklumat berkenaan akan juga diberikan salinan kepada majikan dan juga peminjam.

C. LEJAR/PENYATA

1. Bilakah akaun pinjaman peminjam dikemas kini?

Jawapan : Akaun pinjaman peminjam akan dikemas kini selepas dokumen tawaran diterima dan diproses oleh PTPTN.

2. Apa yang berlaku apabila pengemaskinian dibuat?

Jawapan : Akaun pinjaman yang lama akan diselaraskan ke akaun pembiayaan.

3. Apa berlaku kepada bayaran balik yang dibuat selepas 1 Jun 2008?

Jawapan : Bayaran balik yang telah diterima selepas 1 Jun 2008 akan diselaraskan dengan jadual bayaran balik pembiayaan, dengan mengambil kira jumlah Ujrah (upah) sepatutnya dan kos pentadbiran yang telah dikenakan bagi tempoh 1 Jun 2008 sehingga tarikh semasa. Sebarang lebihan akan digunakan untuk menyelesaikan ansuran bulanan
ke hadapan.
Read More...

Anak Muda Malaysia: Kearah Melahirkan Modal Insan Bertaraf Dunia

Selasa, 23 November 2010

Menongkah  arus kemodenan di era yang penuh cabaran ini bukanlah perkara mudah bagi masyarakat di seluruh dunia. Persaingan pesat dalam  sektor ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya memerlukan keseimbangan dan kestabilan politik di dalam dan luar negara. Perkembangan ekonomi,  politik dunia dan serantau memberi implikasi besar kepada negara- negara di seluruh dunia termasuklah  kepada Malaysia. Peranan yang dimainkan oleh pertubuhan- pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Organisation of Islamic Conference (OIC), Association of South East Asian Nations (ASEAN) dan sebagainya amat membantu dalam memastikan persaingan yang sihat dalam aspek ekonomi, sosial dan politik.

Dalam mendepani situasi ini, minda kita sering  kali dibobrokkan dengan kehebatan  kuasa barat  tanpa kita membuka mata dan memandang tentang kebolehan dan kelebihan yang kita ada termasuklah potensi generasi anak muda yang senantiasa berjiwa besar dan bersemangat untuk mengubah arena dan polimik dunia. Saya melihat masa depan dan peluang yang sangat besar berada di tangan Malaysia apabila kali ini kita berpeluang untuk mempengerusikan Pertubuhan Negara-negara Islam(OIC). Peluang dan tanggungjawab yang besar  ini  perlu diisi dengan sebaik mungkin untuk kebaikan agama dan negara. Melihat kepada masa depan Islam dan situasi polemik dunia pada hari ini, saya merasakan sudah tiba masanya kita mengoptimumkan sebaik mungkin peluang dan peranan yang ada. Perubahan dan cabaran ini tidak dapat diwujudkan dengan mudah tanpa usaha yang gigih daripada semua pihak termasuklah usaha membentuk generasi muda  yang berketerampilan, berdaya saing, berani dan berwawasan. Golongan anak muda seperti ini sangat diperlukan jika kita ingin melihat masa depan agama, negara dan bangsa yang cerah.
Sebagai golongan anak muda abad 21, kita seharusnya perlu sentiasa berjiwa besar dan mempunyai wawasan yang jelas terhadap usaha untuk memartabatkan agama, negara dan bangsa. Saya merasakan hasrat ini bukanlah mustahil untuk digapai sekiranya negara berjaya membentuk generasi  muda yang berkualiti. Saya amat optimis dengan kebolehan anak muda Malaysia dalam menghadapi cabaran semasa. Namun untuk mencapai hasrat murni ini, ianya  memerlukan persediaan rapi antaranya penerapan nilai-nilai murni kedalam diri generasi muda diperingkat awal lagi. Antara nilai-nilai murni yang di maksudkan adalah seperti sifat kepimpinan, berdaya saing, berani, berjiwa besar dan berhemah tinggi. Generasi muda perlu membina jati diri, peribadi, mental dan ilmu agar dapat menjadi insan yang dinamik dan unggul pada masa depan. Generasi muda yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan akan dapat memberikan input yang berharga kepada negara.
Anak muda Malaysia perlu sedar tentang kepentingan peranan mereka terhadap masa depan negara. Tanggungjawab dan peranan mereka adalah amat besar. Justeru, paradigma positif kearah itu adalah sangat mustahak seperti mencabar zon selesa yang mereka ada. Mencabar zon selesa yang saya maksudkan bukanlah bererti mereka tidak boleh hidup dalam keadaan selesa, tetapi perlu sentiasa bersedia memikirkan masa depan Malaysia yang cerah. Ini kerana anak muda mempunyai skop dan pemerhatian yang tajam dan jauh dalam membantu negara untuk terus kukuh dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.
Dalam usaha membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia, persaingan antara negara juga semakin meningkat terutamanya negara-negara maju. Mereka mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, sikap suka bersaing kearah positif juga mampu melahirkan dan membentuk generasi muda yang berketerampilan dan berdaya saing dalam semua aspek. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan ‘cutting edge’ kepada daya saing negara. Dalam hal ini, saya merasakan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Selain itu, peningkatan kompetensi graduan IPT juga  memainkan peranan utama dalam menggerakkan misi kearah melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai kepakaran merupakan peneraju dan  penerokaan idea, konsep dan teori baru yang menjadi tunjang kepada perkembangan ilmu yang terkini.
            Kerjasama daripada semua pihak adalah sangat perlu untuk merealisasikan harapan negara pada masa depan. Saya anologikan situasi ini dengan satu pasukan bola yang mana setiap ahli pasukan mestilah berperanan tanpa mengira posisi. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah. Oleh yang demikian, untuk berjaya mencapai masa depan Malaysia yang gemilang, kita perlu berusaha bersama-sama agar ianya bukanlah sekadar angan-angan kosong sahaja. Suka atau tidak, negara hari ini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia.
Read More...

HM - Nov 22, 2010 - Punca prestasi siswa merosot

Isnin, 22 November 2010

Read More...

Prestasi Akademik Mahasiswa yang Merosot: Punca dan Kesan Terhadap Pembangunan Negara.

Ahad, 21 November 2010

Dalam menghadapi situasi negara yang sedang pesat membangun, pendidikan bukan sahaja merupakan keperluan yang amat penting di kalangan generasi muda, malah ia adalah tunggak kepada kemajuan negara. Ini memandangkan taraf pendidikan mempunyai perkaitan yang rapat dengan taraf pekerjaan, status sosial, pendapatan dan taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, pencapaian akademik yang cemerlang kini menjadi matlamat utama setiap mahasiswa, ibu bapa dan pendidik. Keperluan terhadap sumber manusia mahir dan berpengetahuan di peringkat pengajian tinggi umpamanya, semakin bertambah. Bidang-bidang baru yang selaras dengan kehendak pembangunan serta perkembangan ekonomi dan sosial semasa negara menjadi keutamaan .

Isu prestasi akademik yang lemah di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swata menjadi isu masyarakat yang serius kerana golongan ini diharapkan dapat menjadi individu yang berilmu serta berupaya menangani permasalahan pembangunan semasa dalam sesebuah masyarakat. Ini kerana, mahasiswa merupakan golongan harapan negara kerana merekalah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan yang akan mencorakkan masa depan Malaysia yang gemilang. Masalah kemerosotan akademik mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak yang berwajib termasuklah pihak Kementerian Pengajian Tinggi, pihak universiti, ibu bapa serta mahasiswa. Prestasi akademik yang merosot ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya yakin bahawa mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah terdiri daripada golongan yang bijak pandai. Isu prestasi akademik yang merosot di kalangan mahasiswa IPTA dan IPTS ini akan memberi kesan yang besar terhadap proses melahirkan modal insan bertaraf dunia dan ianya seolah-olah mencacatkan hasrat murni kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat pengajian yang terbaik di peringkat antarbangsa. Negara juga akan menghadapi masalah dalam berdepan dengan persaingan negara-negara maju di peringkat global.

Kejutan budaya dan sikap tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca 112, 132 mahasiswa gagal mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 sehingga pinjaman pengajian mereka terpaksa dibekukan sebagaimana yang didedahkan oleh Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman semasa masih menjadi pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada hemat saya, pencapaian purata di bawah GPA 2.0 adalah tidak dapat diterima terutama bagi mahasiswa sepenuh masa, apatah lagi di institusi pengajian tinggi. Berdasarkan statistik yang dilakukan oleh bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi pada Januari hingga Jun lalu, 17 IPTS dikompaun dan antara kesalahannya kerana mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum. Kesalahan mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum ini juga dilihat menjadi faktor utama yang menyumbang kepada prestasi akademik yang merosot. Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Khaidir Ismail, yakin kejutan budaya menjadi masalah utama kepada mahasiswa dalam pencarian identiti menyebabkan mereka mudah menerima perubahan persekitaran. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila terdapat segelintir mahasiswa IPTA dan IPTS terpengaruh dengan budaya luar hingga hanyut dan akhirnya lupa tanggungjawab untuk belajar. Ternyata kebebasan dan kemudahan dana yang diberi disalahgunakan mahasiswa yang berasa mereka tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan baik kerana sudah berada di menara gading.

Antara punca lain yang membawa kepada prestasi akademik yang merosot ialah berkaitan dengan teknik belajar yang salah. Penguasaan terhadap ilmu dapat ditingkatkan dengan adanya teknik belajar yang betul. Kebanyakan mahasiswa yang berprestasi kurang memuaskan ini bukan sahaja tidak berkeupayaan untuk mengurus masa belajar mereka dengan baik malah mereka juga kurang membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan. Sikap dan mentaliti yang salah membelenggu pelajar apabila mereka hanya belajar sekadar untuk lulus peperiksaan. Sikap mahasiswa yang sering mengambil mudah terhadap setiap pekara juga merupakan antara penyumbang kepada kemerosotan prestasi akademik mereka. Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti pembelajaran menjadikan mereka leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang mahasiswa. Selain itu, budaya ‘last minute’ juga dilihat mempengaruhi prestasi akademik mereka.

Saya bimbang sekiranya situasi ini berlanjutan, negara akan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga mahir, professional, ahli akademik, ahli ekonomi dan sebagainya. Tahap pendidikan negara akan menghadapi masalah yang serius memandangkan produk keluaran universiti ini gagal berfungsi untuk kepentingan negara dan masyarakat. Justeru, saya ingin menyarankan kepada pihak-pihak yang berwajib terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi agar mempertingkatkan pemantauan prestasi akademik di setiap IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia. Pemantauan yang serius dilihat dapat membantu meningkatkan prestasi akedemik di pusat pengajian tinggi di Malaysia. Kajian dan penyelidikan terhadap permasalahan dan punca dominan terhadap prestasi akedemik ini membolehkan pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar berada pada tahap maksimum. Sebagai seorang mahasiswa, saya amat berbesar hati untuk melihat mahasiswa Malaysia berjaya dengan gemilang dalam aspek akademik juga sahsiah diri. Kesedaran yang mendalam dalam diri mahasiswa tentang kepentingan peranan mereka kepada masa depan negara merupakan kunci kepada permasalahan ini. Oleh itu, kerjasama dan usaha semua pihak adalah amat perlu dalam usaha membaiki dan meningkatkan prestasi mutu pendidikan negara.

Read More...

BH - Nov 18, 2010 - Pilih kerjaya guru bukan kerana `terpaksa'

Jumaat, 19 November 2010

Read More...

Habil @ Qabil ?

Rabu, 17 November 2010

Mat Labu nak beli lembu nak buat korban. Survey dulu tengok-tengok yang mana murah.
Pergi la kat Kampung Panjang Sejengkal,
"Berapa harga lembu pak cik?" maka pak cik tu pun jawab,
"RM 1800. Nak letak nama ka?", dijawab Mat Labu,
"Eh, tak-tak. Saja tanya",
dengan niat hati nak pergi tanya kat tempat lain kot-kot ada yang lagi murah.

Pergi pulak naik moto ke Kampung Durian Tak Berduri.
"Bape ringgit lembu",
"Biasa la, RM 2000, standard price. Nak ka?".
"Tak aih, saja nak tau ja".
Dalam hati duk kata, hat tadi murah lagi. Nak pergi tengok kampung hujung sat.

Di Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
"Kat sini berapa?",
"Sini baka baik punya, RM 3400",
"Tudia haih, mahal nyaaa".

Maka mat Labu pun pergi la balik ke Kampung Panjang Sejengkal.....
Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Korban) itu? Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan."
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Kan yang mahal tu, daging nya tebal, sihat dan berkhasiat, sebab tu la mahal ;-)
Banyaknya bulu menandakan haiwan korban tersebut sihat dan gemuk.
Jangan kedekut nak berkorban tau !!! Betul 3x (Gaya Upin & Ipin).


Habil kah kita atau Qabil kah kita??

Selamat Aidil Adha kepada semua pembaca,
khususnya yang beragama Islam ;-)

Read More...

Sukkur, Pakistan - MERCY Malaysia

Selasa, 16 November 2010

On 11 November 2010, the President of the Students’ Representative Council of the International Islamic University of Malaysia (SRCIIUM), Muhammad Firwan Norliza, and fellow colleague Mohd Azwan Fadli, visited our Headquarters in KL to hand over cash donation of over RM 10,000 that they had collected for the MERCY Malaysia Pakistan Relief Fund. The fundraising efforts were initiated at two of IIUM’s campuses - Gombak and Kuantan - since August. The Executive Council and Management of MERCY Malaysia would like to express their sincere gratitude and appreciation to the staff and students of IIUM.


http://www.facebook.com/#!/MERCYMalaysia



Read More...

Kebanjiran Guru di Malaysia: Satu Penilaian

Jumaat, 12 November 2010

Malaysia kini sedang memasuki fasa 15 tahun yang kedua ke arah mencapai Wawasan 2020. Selaras dengan itu, salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Oleh itu Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi. Berdasarkan teras utama ini, Kementerian Pelajaran Malaysia merancang untuk melaksanakan dasar-dasar pembangunan pendidikan bagi mencapai matlamat pendidikan antaranya dengan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, meningkatkan kreativiti inovasi dan budaya ilmu pelajar, menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap, berkesan dan bertaraf dunia.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan bergelar status negara maju pada tahun 2020. Guru merupakan elemen yang penting dalam menjayakan misi ini kerana guru dilihat sebagai agen dalam mengkaderkan dan melahirkan generasi yang bertamadun dalam sesebuah negara. Peranan yang dimainkan oleh guru dalam pembinaan masyarakat bukanlah sedikit terutamanya dalam arus permodenan ini. Dalam usaha menyediakan pendidikan yang ideal, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Namun, jika bersandarkan kepada sistem pendidikan semata, saya merasakan ianya tidak menjamin keberjayaan hasrat murni ini. Ia harus dilihat dalam skop yang lebih luas termasuklah soal kebanjiran guru di Malaysia dari semasa ke semasa.

Statistik hari ini telah menunjukkan peningkatan yang tinggi terhadap pemilihan guru sebagai kerjaya pada masa depan. Ini dapat dilihat kepada kuota kursus perguruan yang ditawarkan di pusat pengajian tinggi awam dan swata di Malaysia. Kecenderungan graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di IPTA dan IPTS memilih untuk menjadi guru usai graduasi juga dilihat semakin meningkat. Bagi sesetengah pihak, hal ini mungkin merupakan satu peningkatan yang positif kepada pendidikan di Malaysia. Namun, saya mempunyai pandangan dan buah fikiran yang berbeza di mana saya melihat kebanjiran guru yang tidak dikawal juga boleh memberi impak negatif kepada negara dalam jangka masa yang panjang. Ini adalah berdasarkan beberapa penilaian yang mendalam terhadap isu ini.

Mentaliti yang dimomokkan bahawa kerjaya guru sebagai satu kerjaya yang mudah dan dapat menyelamatkan diri dari risiko pengangguran yang terlalu lama, menyebabkan ramai yang memilih untuk menjadi guru sebagai jalan keluar daripada dihantui dengan masalah mendapatkan pekerjaan. Selain itu, ia seakan sudah menjadi trend semasa terutamanya di kalangan graduan yang berkelulusan daripada jurusan sastera. Hal ini mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor yang antaranya tiada peluang pekerjaan selepas graduasi, pilihan keluarga dalam memilih kursus di universiti, keadaan yang mendesak dan sebagainya. Faktor-faktor ini akan menyumbang dan menentukan sejauh mana keberkesanan dan keberjayaan nilai seorang pendidik benar-benar ditanam dalam diri setiap dari mereka yang memilih guru sebagai profesion bidan terjun. Jumlah guru yang terlalu ramai di Malaysia dilihat kurang memberi kesan terhadap hakikat sebenar proses pendidikan itu dicorakkan. Justeru, matlamat pembangunan dan pemantapan modal insan perlu dikoreksi semula.

Saya tidak mempunyai masalah dengan jumlah guru yang ramai sekiranya guru-guru ini mempunyai jati diri yang utuh sebagai pendidik dan pembentuk anak bangsa kerana saya amat yakin mereka ini sudah jelas dengan visi dan misi mereka sebagai pendidik. Namun, apa yang perlu dipersoalkan ialah guru yang ramai tetapi tidak mempunyai nilai jati diri guru yang sebenar akan memberi kesan kepada mereka yang dididik. Ini kerana, saya melihat guru merupakan ikon jati diri kepada masyarakat. Jika guru gagal berperanan, institusi pendidikan tidak mampu melahirkan anak bangsa yang berakhlak dan bermoral kepada masyarakat dan negara. Justeru, terlalu ramai guru di Malaysia dibimbangi akan mengurangkan keberkesanan dan penumpuan yang menyeluruh terhadap pembinaan anak bangsa Malaysia.

Selain itu, kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 % guru terdiri daripada guru perempuan dan Kementerian Pelajaran Malaysia menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan dalam pengagihan guru mengikut pilihan. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan pilihan terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.

Berdasarkan faktor inilah saya merasakan bahawa pengambilan guru yang terlalu ramai perlu dikaji semula terhadap keberkesanan dalam mendidik dan membentuk generasi anak muda Malaysia yang seimbang dalam semua aspek. Saya khuatir sekiranya keghairahan menjadi guru tanpa memahami secara mendalam sistem pendidikan negara dan maksud terhadap pendidikan pada jangka masa panjang tidak membawa input positif kepada masyarakat Malaysia. Justeru, saya menyarankan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah yang bijak dalam menyusun jumlah guru yang diperlukan di sekolah, menyajikan kokurikulum yang sesuai dengan kehendak semasa dan menitik beratkan kebajikan guru. Selain itu, saya mencadangkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar menambah baik sistem pemilihan calon guru seperti memperketatkan syarat dan kriteria pengambilan calon guru. Moga saranan-saranan ini diambil serius oleh kerajaan dalam mempertingkat mutu sistem pendidikan Malaysia.

Read More...
banner125125 d'famous_125x125 ads_box ads_box ads_box
 

Politik

Ikon

Berita