Menongkah arus kemodenan di era yang penuh cabaran ini bukanlah perkara mudah bagi masyarakat di seluruh dunia. Persaingan pesat dalam sektor ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya memerlukan keseimbangan dan kestabilan politik di dalam dan luar negara. Perkembangan ekonomi, politik dunia dan serantau memberi implikasi besar kepada negara- negara di seluruh dunia termasuklah kepada Malaysia. Peranan yang dimainkan oleh pertubuhan- pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Organisation of Islamic Conference (OIC), Association of South East Asian Nations (ASEAN) dan sebagainya amat membantu dalam memastikan persaingan yang sihat dalam aspek ekonomi, sosial dan politik.
Dalam mendepani situasi ini, minda kita sering kali dibobrokkan dengan kehebatan kuasa barat tanpa kita membuka mata dan memandang tentang kebolehan dan kelebihan yang kita ada termasuklah potensi generasi anak muda yang senantiasa berjiwa besar dan bersemangat untuk mengubah arena dan polimik dunia. Saya melihat masa depan dan peluang yang sangat besar berada di tangan Malaysia apabila kali ini kita berpeluang untuk mempengerusikan Pertubuhan Negara-negara Islam(OIC). Peluang dan tanggungjawab yang besar ini perlu diisi dengan sebaik mungkin untuk kebaikan agama dan negara. Melihat kepada masa depan Islam dan situasi polemik dunia pada hari ini, saya merasakan sudah tiba masanya kita mengoptimumkan sebaik mungkin peluang dan peranan yang ada. Perubahan dan cabaran ini tidak dapat diwujudkan dengan mudah tanpa usaha yang gigih daripada semua pihak termasuklah usaha membentuk generasi muda yang berketerampilan, berdaya saing, berani dan berwawasan. Golongan anak muda seperti ini sangat diperlukan jika kita ingin melihat masa depan agama, negara dan bangsa yang cerah.
Sebagai golongan anak muda abad 21, kita seharusnya perlu sentiasa berjiwa besar dan mempunyai wawasan yang jelas terhadap usaha untuk memartabatkan agama, negara dan bangsa. Saya merasakan hasrat ini bukanlah mustahil untuk digapai sekiranya negara berjaya membentuk generasi muda yang berkualiti. Saya amat optimis dengan kebolehan anak muda Malaysia dalam menghadapi cabaran semasa. Namun untuk mencapai hasrat murni ini, ianya memerlukan persediaan rapi antaranya penerapan nilai-nilai murni kedalam diri generasi muda diperingkat awal lagi. Antara nilai-nilai murni yang di maksudkan adalah seperti sifat kepimpinan, berdaya saing, berani, berjiwa besar dan berhemah tinggi. Generasi muda perlu membina jati diri, peribadi, mental dan ilmu agar dapat menjadi insan yang dinamik dan unggul pada masa depan. Generasi muda yang berketerampilan dan berilmu pengetahuan akan dapat memberikan input yang berharga kepada negara.
Anak muda Malaysia perlu sedar tentang kepentingan peranan mereka terhadap masa depan negara. Tanggungjawab dan peranan mereka adalah amat besar. Justeru, paradigma positif kearah itu adalah sangat mustahak seperti mencabar zon selesa yang mereka ada. Mencabar zon selesa yang saya maksudkan bukanlah bererti mereka tidak boleh hidup dalam keadaan selesa, tetapi perlu sentiasa bersedia memikirkan masa depan Malaysia yang cerah. Ini kerana anak muda mempunyai skop dan pemerhatian yang tajam dan jauh dalam membantu negara untuk terus kukuh dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.
Dalam usaha membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia, persaingan antara negara juga semakin meningkat terutamanya negara-negara maju. Mereka mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, sikap suka bersaing kearah positif juga mampu melahirkan dan membentuk generasi muda yang berketerampilan dan berdaya saing dalam semua aspek. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan ‘cutting edge’ kepada daya saing negara. Dalam hal ini, saya merasakan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Selain itu, peningkatan kompetensi graduan IPT juga memainkan peranan utama dalam menggerakkan misi kearah melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai kepakaran merupakan peneraju dan penerokaan idea, konsep dan teori baru yang menjadi tunjang kepada perkembangan ilmu yang terkini.
Kerjasama daripada semua pihak adalah sangat perlu untuk merealisasikan harapan negara pada masa depan. Saya anologikan situasi ini dengan satu pasukan bola yang mana setiap ahli pasukan mestilah berperanan tanpa mengira posisi. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah. Oleh yang demikian, untuk berjaya mencapai masa depan Malaysia yang gemilang, kita perlu berusaha bersama-sama agar ianya bukanlah sekadar angan-angan kosong sahaja. Suka atau tidak, negara hari ini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia.
0 comments:
Catat Ulasan