Dikuasakan oleh Blogger.

Services

Services
Sound & Light System, Event Management, Recording, Studio, Books, Boutique, Photography, Wedding Planner, Transportation, Videography, Designing & Printing. Interested with the services?? Kindly text to 012-5829252.

Aku

Jurutera di KTF Engineering (M) Sdn. Bhd. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan (Komunikasi) di Kulliyyah Kejuruteraan. Tokoh Pelajar Putera 2004, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Pulau Pinang. Melibatkan diri secara aktif dalam gerakan mahasiswa dalam dan luar kampus. Mantan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan 2006/2007 (Matrikulasi UIAM), mantan Pengerusi Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2008/2009 dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi sesi 2009/2010. Email : hang_jebat25@yahoo.com

Followers

Prestasi Akademik Mahasiswa yang Merosot: Punca dan Kesan Terhadap Pembangunan Negara.

Ahad, 21 November 2010

Dalam menghadapi situasi negara yang sedang pesat membangun, pendidikan bukan sahaja merupakan keperluan yang amat penting di kalangan generasi muda, malah ia adalah tunggak kepada kemajuan negara. Ini memandangkan taraf pendidikan mempunyai perkaitan yang rapat dengan taraf pekerjaan, status sosial, pendapatan dan taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, pencapaian akademik yang cemerlang kini menjadi matlamat utama setiap mahasiswa, ibu bapa dan pendidik. Keperluan terhadap sumber manusia mahir dan berpengetahuan di peringkat pengajian tinggi umpamanya, semakin bertambah. Bidang-bidang baru yang selaras dengan kehendak pembangunan serta perkembangan ekonomi dan sosial semasa negara menjadi keutamaan .

Isu prestasi akademik yang lemah di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swata menjadi isu masyarakat yang serius kerana golongan ini diharapkan dapat menjadi individu yang berilmu serta berupaya menangani permasalahan pembangunan semasa dalam sesebuah masyarakat. Ini kerana, mahasiswa merupakan golongan harapan negara kerana merekalah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan yang akan mencorakkan masa depan Malaysia yang gemilang. Masalah kemerosotan akademik mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak yang berwajib termasuklah pihak Kementerian Pengajian Tinggi, pihak universiti, ibu bapa serta mahasiswa. Prestasi akademik yang merosot ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya yakin bahawa mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah terdiri daripada golongan yang bijak pandai. Isu prestasi akademik yang merosot di kalangan mahasiswa IPTA dan IPTS ini akan memberi kesan yang besar terhadap proses melahirkan modal insan bertaraf dunia dan ianya seolah-olah mencacatkan hasrat murni kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat pengajian yang terbaik di peringkat antarbangsa. Negara juga akan menghadapi masalah dalam berdepan dengan persaingan negara-negara maju di peringkat global.

Kejutan budaya dan sikap tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca 112, 132 mahasiswa gagal mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 sehingga pinjaman pengajian mereka terpaksa dibekukan sebagaimana yang didedahkan oleh Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman semasa masih menjadi pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada hemat saya, pencapaian purata di bawah GPA 2.0 adalah tidak dapat diterima terutama bagi mahasiswa sepenuh masa, apatah lagi di institusi pengajian tinggi. Berdasarkan statistik yang dilakukan oleh bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi pada Januari hingga Jun lalu, 17 IPTS dikompaun dan antara kesalahannya kerana mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum. Kesalahan mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum ini juga dilihat menjadi faktor utama yang menyumbang kepada prestasi akademik yang merosot. Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Khaidir Ismail, yakin kejutan budaya menjadi masalah utama kepada mahasiswa dalam pencarian identiti menyebabkan mereka mudah menerima perubahan persekitaran. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila terdapat segelintir mahasiswa IPTA dan IPTS terpengaruh dengan budaya luar hingga hanyut dan akhirnya lupa tanggungjawab untuk belajar. Ternyata kebebasan dan kemudahan dana yang diberi disalahgunakan mahasiswa yang berasa mereka tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan baik kerana sudah berada di menara gading.

Antara punca lain yang membawa kepada prestasi akademik yang merosot ialah berkaitan dengan teknik belajar yang salah. Penguasaan terhadap ilmu dapat ditingkatkan dengan adanya teknik belajar yang betul. Kebanyakan mahasiswa yang berprestasi kurang memuaskan ini bukan sahaja tidak berkeupayaan untuk mengurus masa belajar mereka dengan baik malah mereka juga kurang membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan. Sikap dan mentaliti yang salah membelenggu pelajar apabila mereka hanya belajar sekadar untuk lulus peperiksaan. Sikap mahasiswa yang sering mengambil mudah terhadap setiap pekara juga merupakan antara penyumbang kepada kemerosotan prestasi akademik mereka. Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti pembelajaran menjadikan mereka leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang mahasiswa. Selain itu, budaya ‘last minute’ juga dilihat mempengaruhi prestasi akademik mereka.

Saya bimbang sekiranya situasi ini berlanjutan, negara akan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga mahir, professional, ahli akademik, ahli ekonomi dan sebagainya. Tahap pendidikan negara akan menghadapi masalah yang serius memandangkan produk keluaran universiti ini gagal berfungsi untuk kepentingan negara dan masyarakat. Justeru, saya ingin menyarankan kepada pihak-pihak yang berwajib terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi agar mempertingkatkan pemantauan prestasi akademik di setiap IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia. Pemantauan yang serius dilihat dapat membantu meningkatkan prestasi akedemik di pusat pengajian tinggi di Malaysia. Kajian dan penyelidikan terhadap permasalahan dan punca dominan terhadap prestasi akedemik ini membolehkan pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar berada pada tahap maksimum. Sebagai seorang mahasiswa, saya amat berbesar hati untuk melihat mahasiswa Malaysia berjaya dengan gemilang dalam aspek akademik juga sahsiah diri. Kesedaran yang mendalam dalam diri mahasiswa tentang kepentingan peranan mereka kepada masa depan negara merupakan kunci kepada permasalahan ini. Oleh itu, kerjasama dan usaha semua pihak adalah amat perlu dalam usaha membaiki dan meningkatkan prestasi mutu pendidikan negara.

3 comments:

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid berkata...

sekadar berkongsi pautan yang mungkin ada kaitan dengan isu ini..

http://dysclosure.blogspot.com/2010/11/bells-palsy.html

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid berkata...

sekadar berkongsi pautan yang mungkin ada kaitan dengan isu ini..

http://dysclosure.blogspot.com/2010/11/bells-palsy.html

Mohd. Ramadan Bin Ab.Hamid berkata...

sekadar berkongsi pautan yang mungkin ada kaitan dengan isu ini..

http://dysclosure.blogspot.com/2010/11/bells-palsy.html

Catat Ulasan

banner125125 d'famous_125x125 ads_box ads_box ads_box
 

Politik

Ikon

Berita