Media merupakan medium utama dalam menyampaikan maklumat dan menjayakan agenda-agenda negara khususnya dalam mendepani cabaran arus globalisasi. Umum mengetahui bahawa media berperanan besar dalam proses pembentukan, pembangunan serta kestabilan sesebuah negara termasuklah dalam aspek sosial, ekonomi dan politik. Masyarakat seluruh dunia bergantung sepenuhnya kepada media untuk mendapatkan maklumat dan informasi. Atas kebergantungan ini, media dilihat sebagai penyalur maklumat utama kepada masyarakat secara pantas dan telus. Media bukan saja berperanan menyampaikan maklumat dalam ruang lingkup semasa malah juga memainkan peranan penting dalam memberitahu, mendidik dan memotivasikan masyarakat terhadap pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan.
Namun, ketelusan media dalam memaparkan dan menyampaikan maklumat dan informasi mula dipersoalkan oleh masyarakat pada hari ini. Situasi ini berlaku apabila masyarakat melihat media seakan dijadikan alat dan senjata utama kepada sesetengah pihak terutamanya parti-parti politik dalam menyebarkan agenda-agenda mereka tanpa mengambil kira ketulenan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh pihak media. Tidak terkecuali, media juga dijadikan sebagai wadah yang berkesan dalam memastikan kepentingan sesetengah pihak terjaga. Justeru, persoalan yang perlu dijawab oleh semua pihak terutamanya pihak media adalah sejauh mana ketelusan media menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat itu dipikul.
Jika dilihat dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia, jelas menggariskan tentang kebebasan bersuara. Perkara ini dilihat selari dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini yang mana menekankan beberapa hak dan kebebasan asas terhadap masyarakatnya. Namun persoalannya, sejauh mana kebebasan ini boleh dipraktikkan tanpa sekatan dan campur tangan daripada mana-mana pihak yang berpengaruh politik? Dalam konteks media di Malaysia, kebebasan untuk menulis, mengeluarkan pendapat, bersuara dan mengkritik adalah tertakluk kepada Perkara 10 (2) di mana, parlimen telah diberi kuasa untuk membuat sekatan tertentu kepada Perkara 10 bagi tujuan menjaga keamanan negara, menjaga kepentingan keselamatan negara, menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, menjaga kepentingan akhlak dan sekatan bagi melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Daripada sudut teorinya, saya melihat apa saja yang terkandung dalam perlembagaan dan dijadikan sistem di negara ini adalah sangat cantik dan sistematik tetapi daripada sudut praktikalnya, saya merasakan banyak perkara yang harus diteliti semula termasuklah kebebasan dan ketelusan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Secara kasarnya, saya melihat seolah-olah media di negara ini sedang dikawal oleh pihak-pihak tertentu untuk menjaga kepentingan masing-masing. Pengawalan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat ini adakalanya perlu tetapi jika terlalu dikawal dan dikongkong, saya khuatir, ketelusan dan kebebasan media dalam menjalankan tanggungjawab sosialnya akan tergugat. Pelbagai akta dibuat untuk mengawal kebebasan Media di Malaysia, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan (SA), Akta Percetakan dan Penerbitan (PPPA), Akta Penyiaran, Akta Penerbitan Bahan Import, Akta BERNAMA dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam sistem demokrasi, media dianggap sebagai ‘public watchdog’ atau pemerhati kepada masyarakat. Empat elemen utama dalam sistem ini adalah Badan Perundangan, Badan Kehakiman, Badan Eksekutif (Kerajaan) dan media massa. Keempat-empat elemen ini sepatutnya tidak berkait antara satu sama lain. Media sebagai ‘public watchdog’ sepatutnya berupaya melaporkan apa sahaja isu yang berkaitan dengan kesemua elemen berkenaan. Namun apa yang berlaku, media seolah-olah diikat dan ditarik kebebasannya dari terus bersikap telus dan adil dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Pada pandangan saya, demokrasi tidak harus digadaikan atas nama kebebasan media yang tidak bertanggungjawab. Media adalah ejen perpaduan penting dalam menghapuskan konflik yang bertentangan dengan nilai dan sikap masyarakat pelbagai kaum. Peranan media sebagai alat interpretasi sosial dan cermin yang memantulkan masalah, kehendak dan aspirasi rakyat hendaklah diutamakan. Tanpa maklum balas yang jujur sudah tentu sukar bagi kerajaan mencerminkan dirinya.
Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan ketelusan media melaporkan sesuatu isu agar masyarakat lebih yakin dan percaya terhadap kredibiliti media itu sendiri. Justeru, saya menyarankan kepada semua pihak khususnya pihak media agar dapat mengembalikan kredibiliti mereka sebagai agen penghubung masyarakat. Media hendaklah memainkan peranannya secara profesional. Semua pihak harus bersikap terbuka dalam menerima laporan atau kritikan media tentang kekurangan yang ada pada mereka. Media perlu bertindak bijak dan bebas tanpa terpengaruh dan terikat dengan mana-mana pihak. Ketelusan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat adalah penting kerana ianya mencerminkan dasar keterbukaan dan ketelusan sesebuah negara.
0 comments:
Catat Ulasan