Dasar transformasi kerajaan yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini menjanjikan satu gelombang perubahan yang besar kepada pembangunan negara dalam aspek ekonomi, perkhidmatan dan sosial negara. Transformasi kerajaan yang diperkenalkan ini sejajar dengan persiapan negara untuk mendepani arus globalisasi dan cabaran Wawasan 2020. Di era YTM Tunku Abdul Rahman, semangat kemerdekaan dan kesatuan telah diperkenalkan, kemudian pendidikan kebangsaan menjadi dasar dalam kepimpinan Tun Abdul Razak. Selepas itu, Tun Hussein Onn memperkenalkan konsep perpaduan dan keadilan, Tun Mahathir pula lebih kepada perindustrian dan penswastaan. Di era Tun Abdullah pula, Islam Hadhari dan ketika ini 1 Malaysia dan transformasi sedang diperkatakan.
Secara umumnya, pelan transformasi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan ini dilihat sebagai langkah yang baik kearah proses pembaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang inginkan perubahan kearah kebaikan dalam semua aspek, saya menyambut baik hasrat kerajaaan untuk menjayakan pelan transformasi ini selagi mana ianya tidak menyalahi batas agama, norma dan tata susila masyarakat majmuk di Malaysia. Setiap program transformasi yang diperkenalkan hendaklah diteliti dan dikaji secara holistik dan mendalam terhadap kesan jangka panjang, manfaat, risiko serta masalah yang bakal dihadapi pada masa hadapan. Setiap program transformasi yang dijalankan juga perlulah mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya kerana setiap keputusan dan dasar yang digubal oleh pihak kerajaan akan memberi kesan besar kepada masyarakat. Oleh itu, perlaksanaan pelan transformasi ini perlulah bersifat saksama dan telus tanpa memberi kepentingan kepada mana-mana pihak.
Saya sangat optimis dengan apa jua cadangan kerajaan sekiranya cadangan itu memberi kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. Namun, jika sekiranya cadangan itu bertentangan dengan batas agama, norma dan tatasusila masyarakat, saya tidak teragak-agak untuk membantah setiap cadangan kerajaan. Membantah bukan bererti membangkang secara membabi buta tanpa usul periksa, tetapi selepas mengkaji dan meneliti secara holistik terlebih dahulu. Dalam hal ini, kita seharusnya berfikir dan bertindak matang dan bijak kerana ianya melibatkan masa depan agama, bangsa dan negara. Jika dilihat kepada program transformasi ekonomi yang diperkenalkan, kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam sebagai langkah menjana ekonomi negara. Perkara ini dibantah oleh banyak pihak kerana melihat kepada kesan jangka panjang dan risiko yang akan dihadapi oleh negara. Saya juga berada dipihak yang menentang dasar kerajaan ini. Ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat inginkan suatu perubahan dan dasar yang baik tanpa menidakkan kepentingan-kepentingan tertentu. Walau apapun transformasi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan, ianya haruslah mengambil kira faktor kebaikan dan keburukan untuk tempoh jangka panjang. Jika tidak, bukanlah menjadi suatu yang pelik sekiranya cadangan tersebut sangat ditentang.
Melihat kepada cabaran masa depan yang bakal dihadapi oleh masyarakat, persediaan dan persiapan dalam menghadapi era transformasi dan perubahan ini adalah sangat mustahak. Pembinaan anak bangsa yang mempunyai jati diri yang kuat, kemahiran yang pelbagai, ilmu pengetahuan yang luas sangat membantu dalam merealisasikan transformasi ini. Sebagai contoh, pakar dalam pelbagai bidang, golongan intelektual, professional dan negarawan berkualiti perlu dipertingkatkan sebagai persediaan dalam mendepani arus transformasi dan cabaran Wawasan 2020. Sebagai golongan mahasiswa, saya melihat keperluan terhadap graduan yang berkompetensi, berkemahiran, berkepimpinan dan berdaya saing perlu dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia. Ini kerana, produk keluaran IPT adalah merupakan produk dan acuan utama dalam menjayakan apa jua hasrat kerajaan pada masa depan.
Melahirkan masyarakat Malaysia khususnya golongan mahasiswa yang peka terhadap isu dan perkara berkaitan kenegaraan adalah sangat perlu agar apa jua cadangan dan dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan difahami oleh semua pihak. Budaya ‘tidak pedulisme’ dalam diri masyarakat Malaysia harus dikikis segera agar mereka tidak ditindas oleh apa jua cadangan dan sistem yang tidak memberi manfaat dan kebaikan. Pendedahan terhadap cabaran dan realiti yang barlaku di dalam negara dan seluruh dunia dilihat dapat memberi input positif kepada masyarakat. Transformasi sosial kearah yang lebih baik akan terlaksana jika beberapa elemen negatif sedia ada dalam negara ini dibendung dan dikikis segera. Contohnya, gejala sosial, kadar jenayah, tahap keselamatan dan sebagainya harus diteliti dan dinilai sebaiknya. Saya mencadangkan agar kerajaan meletakkan sasaran dan target yang jelas terhadap perkara ini seperti sasaran peratusan penurunan kadar jenayah dan gejala sosial dalam masyarakat. Jika ini benar terjadi, maka program transformasi yang dijalankan seharusnya menjadi suatu yang positif kepada negara. Kayu ukur atau KPI terhadap keberkesanan terhadap apa jua dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan haruslah bertepatan dengan realiti semasa masyarakat negara ini.
1 comments:
Hola, Interesante, tidak ada va a continuar con este artнculo?
Catat Ulasan