Dikuasakan oleh Blogger.

Services

Services
Sound & Light System, Event Management, Recording, Studio, Books, Boutique, Photography, Wedding Planner, Transportation, Videography, Designing & Printing. Interested with the services?? Kindly text to 012-5829252.

Aku

Jurutera di KTF Engineering (M) Sdn. Bhd. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam Sarjana Muda Kejuruteraan (Komunikasi) di Kulliyyah Kejuruteraan. Tokoh Pelajar Putera 2004, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal, Pulau Pinang. Melibatkan diri secara aktif dalam gerakan mahasiswa dalam dan luar kampus. Mantan Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan 2006/2007 (Matrikulasi UIAM), mantan Pengerusi Perhubungan Awam, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2008/2009 dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi sesi 2009/2010. Email : hang_jebat25@yahoo.com

Followers

Parlimen Mahasiswa: Antara Kebebasan dan Keterbatasan.

Rabu, 26 Januari 2011


Kuasa kebangkitan mahasiswa menuntut kebebasan dan keadilan terhadap beberapa isu berkaitan hak-hak mereka sebagai mahasiswa yang mana ianya telah diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu. Kebangkitan generasi intelek ini merupakan revolusi yang mampu mencetuskan satu transformasi terbaru kepada negara pada masa hadapan. Peranan golongan mahasiswa diakui amat bernilai dalam membantu proses menggerak dan membangunkan sistem negara pada masa hadapan. Mahasiswa terus dilihat sebagai agen pengkaderan dalam melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berwawasan tinggi.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap institut pengajian tinggi (IPT) seperti yang dicetuskan oleh mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya daripada gerakan-gerakan mahasiswa yang memperjuangkan hak dan kebebasan mereka di kampus. Cadangan penubuhan parlimen mahasiswa ini sudah dipersetujui oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan telah mendapat respon positif daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau berkata, kementerian memberi kebebasan kepada IPT membentuk Parlimen Mahasiswa bagi memberi ruang kepada golongan tersebut untuk meluahkan pendapat yang mampu membangunkan universiti dan negara tetapi ianya perlulah mengikut modul yang dibenarkan oleh pihak universiti sahaja.

Secara umumnya saya melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai satu agenda yang positif di mana ianya seolah-olah menunjukkan bahawa mahasiswa sudah diberi lesen besar untuk mengurus perkara dan isu berkaitan mahasiswa. Ini merupakan suatu peningkatan dari sudut kredibiliti dan kuasa yang diberikan kepada mahasiswa dalam merencanakan agenda-agenda mereka di peringkat kampus. Saya melihat idea penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai satu cadangan yang berani dan berwawasan untuk kepentingan pada masa depan. Ini kerana kampus merupakan lapangan latihan kepada mahasiswa sebelum mereka beraksi di luar selepas melalui proses graduasi. Parlimen Mahasiswa seharusnya berfungsi sebagai medan utama untuk membawa suara mahasiswa, melatih kepimpinan, mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Sudut pidato yang sudah dilaksanakan di semua kampus merupakan permulaan yang baik ke arah membentuk Parlimen Mahasiswa.

Idea dan cadangan ini secara dasarnya dilihat sangat cantik dan bernas. Namun, saya mempunyai pandangan tersendiri  terhadap penubuhan Parlimen Mahasiswa ini. Dari sudut teorinya, ianya sangat gah tetapi dari sudut parktikalnya, saya merasakan ada sesuatu yang mustahak yang perlu diteliti dengan lebih mendalam, antaranya persoalan berkenaan Parlimen Mahasiswa ini masih lagi tertakluk dan dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan mungkin bakal terikat dengan sebuah lagi akta seandainya Parlimen Mahasiswa ini dilaksanakan di setiap universiti di Malaysia. Jika dilihat dari sudut  takrifan parlimen itu sendiri, ianya merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Justeu, saya merasakan Parlimen Mahasiswa tidak perlu lagi diikat dan dibatasi oleh AUKU,   yang mana jelas bercanggahan dengan konsep penubuhan parlimen itu sendiri. Saya berpendapat bahawa jika sekiranya pihak kementerian ingin meluluskan dan mengarahkan setiap kampus melaksanakan Parlimen Mahasiswa, maka sudah tiba masanya mereka melepaskan mahasiswa daripada terus diikat oleh AUKU. Sekiranya Parlimen Mahasiswa masih dibelenggu dan disekat oleh AUKU, saya tidak melihat Parlimen Mahasiswa ini boleh berfungsi dengan baik. Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Justeru, Parlimen Mahasiswa perlu berfungsi dengan bebas tanpa perlu terikat dengan akta yang akan menyebabkan kebebasan mereka dicantas.

Parlimen Mahasiswa merupakan platform terbaik untuk mahasiswa menyuarakan pendapat dan pandangan mereka berkenaan dengan isu-isu yang berkaitan mahasiswa dan Negara. Namun, saya khuatir seandainya Parlimen Mahasiswa ini dilaksanakan, ianya akan menyebabkan pertindanan kuasa dan gerak kerja dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang sedia ada. Selain itu juga, gerak kerja dan bebanan MPP juga akan bertambah. Pertindanan dan pertambahan gerak kerja ini jika tidak diuruskan sebaiknya, maka ianya akan memberi kesan yang buruk kepada MPP tersebut termasuklah juga kepada universiti. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang sedia ada sebenarnya sudah merangkupi ruang lingkup membawa suara mahasiswa ke peringkat nasional. Jika fungsi MPPK dan parlimen ini boleh disatukan dan suara Mahasiswa didengar oleh pihak kerajaan, maka saya merasakan bahawa Parlimen Mahasiswa tidaklah begitu mustahak untuk dilaksanakan pada masa ini. Sebaliknya, fungsi platform mahasiswa yang sedia ada seperti MPPK, MPMN (Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional) dan Jemaah YDP perlu diperkasakan dan dibaikpulih supaya peranannya dirasai oleh seluruh mahasiswa termasuk masyarakat secara keseluruhannya. Platform-plafform ini perlu berfungsi dan berperanan agar suara mahasiswa didengari oleh pihak atasan.

Saya agak tertarik dengan dasar dan konsep yang digunakan di dalam United Kingdom Youth Parliament di mana parlimen ini adalah parlimen belia atau golongan muda United Kingdom yang membawa suara anak muda mereka termasuklah hal-hal berkaitan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Mereka lantang mengeluarkan idea dan pandangan kearah perubahan. United Kingdom Youth Parliament ini bertindak sebagai platform yang mewakili suara anak muda di universiti yang memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa, antaranya mereka memperjuangkan yuran pengajian, membantah cadangan kerajaan yang menetapkan 50% pelajar perlu menyambung pengajian di universiti dan sebagainya. Saya merasakan United Kingdom Youth Parliament ini berjaya berfungsi untuk membawa suara kebebasan dan hak mahasiswa atas beberapa faktor antaranya United Kingdom Youth Parliament ini tidak tertakluk dan terikat oleh mana-mana akta dalam membawa gerakan mereka. Mereka lebih berdikari dan bebas untuk membuat keputusan, berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia di mana Parlimen Mahasiswa seperti yang sudah ada di USM masih lagi terikat dan tertakluk di bawah AUKU.

Melihat kepada pelbagai kemungkinan yang bakal memberi kesan akibat perlaksanaan Parlimen Mahasiswa ini, saya secara peribadinya merasakan perbincangan secara lebih mendalam dan serius perlu dilakukan melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar di semua universiti dan pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Apa sahaja dasar dan cadangan daripada kerajaan yang melibatkan mahasiswa perlu kepada perbincangan dua hala. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengambil kira pandangan MPP setiap universiti berhubung semua isu yang melibatkan mahasiswa. Tindakan ini sangat penting kerana MPP merupakan agen suara mahasiswa yang mewakili kampus masing-masing. Jika suara MPP tidak dipandang dan didengari oleh pihak kementerian, maka saya merasakan kuasa yang ada pada MPP seolah-olah tidak bernilai. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan perlu mengambil cakna dengan slogan dasar pandang kepada mahasiswa kerana mereka merupakan aset terpenting negara dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia. Konklusinya, saya melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik permulaan mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.



5 comments:

Pemerhati Dewan Perundingan Pelajar USM berkata...

good artikel. Cuba saudara tanya ahli parlimen mahasiswa usm. adakah suara mereka disekat. dari segi teori, parlimen mahasiswa masih lagi dalam lingkungan AUKU, namun dari sudut praktikelnya, ada ahli parlimen mahasiswa USM yang dikenekan tindakan AUKU selepas bersidang?

Saudara pernah melihat dan mendengar isu2 yang dibicangkan di dalam parlimen mahasiswa USM?

Saya pasti saudara belum lagi melihat dan mendengarnya. cuba selidik dahulu. kemudian saudara boleh respon pandangan saya ini.

Tanpa Nama berkata...

Ape y saya fhm ttg artikel di atas,bkn ditujukan khas buat mahasiswa USM.Tp dr segi perlaksanaan die d Malaysia.Jika ape2 keputusan y dibuat dlm persidangan Parlimen,masih ada keterbatassan dgn akta AUKU.Walau sebulat suara keputusan telah di buat didalam parlimen mahasiswa,tp keputusan itu bertentangan dgn AKTA mknenye xberguna pun keputusan tu....

Pemerhati jiwa kental berkata...

jadi apa yang boleh diperkatakan di sini AUKU itu boleh dikatakan sebagai The Constitution for Universities in Malaysia...

Pemerhati jiwa kental berkata...

jadi apa yang boleh diperkatakan di sini AUKU itu boleh dikatakan sebagai The Constitution for Universities in Malaysia...

Pemerhati Dewan Perundingan Pe berkata...

good artikel. Cuba saudara tanya ahli parlimen mahasiswa usm. adakah suara mereka disekat. dari segi teori, parlimen mahasiswa masih lagi dalam lingkungan AUKU, namun dari sudut praktikelnya, ada ahli parlimen mahasiswa USM yang dikenekan tindakan AUKU selepas bersidang?

Saudara pernah melihat dan mendengar isu2 yang dibicangkan di dalam parlimen mahasiswa USM?

Saya pasti saudara belum lagi melihat dan mendengarnya. cuba selidik dahulu. kemudian saudara boleh respon pandangan saya ini.

Catat Ulasan

banner125125 d'famous_125x125 ads_box ads_box ads_box
 

Politik

Ikon

Berita