Hasrat kerajaan untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah-sekolah sebagai salah satu cara untuk menghindari daripada meningkatnya gejala sosial di kalangan remaja dilihat sebagai satu langkah murni. Statistik terkini memperlihatkan peningkatan yang membimbangkan terhadap masalah sosial di kalangan remaja di negara ini. Atas kebimbangan terhadap masalah inilah, maka timbulnya saranan memperkenalkan pendidikan seks di institusi pendidikan di Malaysia. Melihatkan rumitnya permasalahan ini, isu pendidikan seks yang dicadangkan masih menjadi perbahasan oleh pelbagai pihak. Pengkajian terhadap perlaksanaan pendidikan seks ini perlulah dilakukan secara lebih terperinci dan mendalam terhadap implikasi dan kesan jangka panjang terhadap masa depan generasi anak muda Malaysia.
Pada pandangan saya, isu pendidikan seks ini perlu digarap dan diperhalusi dengan penuh cermat dan bijaksana sebelum apa-apa tindakan diambil. Keputusan perlaksanaan pendidikan seks ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Ini kerana reaksi secara “knee-jerk” tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Saya melihat isu ini agak rumit kerana ianya melibatkan pebagai faktor dalaman dan luaran. Perbincangan dan perbahasan yang menyeluruh serta kritikal amat perlu bagi membolehkan suatu perspektif yang holistik dikemukakan. Ianya perlulah diselidiki terlebih dahulu mengenai implikasinya dengan mengambil kira pelbagai faktor dan kemungkinan.
Jika dilihat daripada kontek yang lebih luas, kerajaan Britain telah terlebih dahulu melaksanakan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Namun, ternyata mereka masih gagal membanteras gejala sosial yang berlaku malah, lebih parah lagi, gejala sosial dalam masyarakat Britain semakin meningkat walaupun pendidikan seks dilaksanakan. Dalam hal ini, saya melihat pendidikan seks bukanlah penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah sosial di negara ini. Apa yang lebih mustahak ialah penekanan dan pemahaman yang serius terhadap sistem pendidikan Islam dan pendidikan sivik itu sendiri. Pada hemat saya, sistem pendidikan Islam yang sedia ada pada hari ini perlu dikaji dan diperbaharui semula kerana sistem pendidikan yang sedia ada hanyalah bersifat mata pelajaran semata mata tanpa menjadikan pendidikan Islam itu sebagai satu sistem pendidikan yang menyeluruh.
Kesan besar yang bakal dihadapi sekiranya pendidikan seks ini benar-benar dilaksanakan, dilihat seolah-olah membuka jalan dan peluang kepada remaja untuk melakukan zina. Ini kerana, mereka sudah tidak perlu bimbang dan beralasan lagi terhadap pekara ini kerana sistem pendidikan sendiri yang mengajar mereka kearah itu. Di samping itu juga, saya melihat bahawa perlaksanaan pendidikan seks ini lebih kepada usaha untuk merawat dan bukannya untuk mencegah, sedangkan usaha untuk mencegah itu lebih penting daripada usaha untuk merawat. Justeru, pihak-pihak yang terlibat haruslah berperanan dan mengambil kira pandangan dari semua pihak tentang isu ini untuk memudahkan sebarang keputusan dibuat. Kesilapan dalam membuat keputusan khususnya perkara yang melibatkan dasar negara akan memberi kesan kepada semua pihak termasuk masyarakat. Oleh itu, keputusan yang bernas dan munasabah amat perlu untuk melahirkan generasi muda yang terpelajar, terdidik dan berakhlak mulia. Sesuatu tamadun bangsa akan runtuh sekiranya generasi muda mereka terdiri dari mereka yang rapuh pegangan sistem nilainya.
1 comments:
tulisan yg bernas.. tapi kenapa skit sgt menyentuh penekanan pd isu pendidikan agama?? bagi yg berasal dr keluarga yg sememangnye kuat beragama, keluarga tahu dan alert utk anak2 mereka ke sekolah yg byk menekankan hal2 agama. tapi, pd keluarga yg kurang mengenai agama, cume meghantar anak2 ke sekolah biasa. dan keluarga seperti ini yg majoriti skrg..seawal darjah 6, pendidikan agama diabaikan. mengapa tidak dimasukkan exam agama islam dlm upsr? bukankah pada darjah 6 lah perlunye persedian mental yg baik utk menjejakkan kaki ke sekolah menengah...
dan kalau x keberatan, apa agaknye silibus pendidikan seks ye? bukankah ISLAM itu syumul..
sekadar memberi pendapat...~~
Catat Ulasan