Soalan 1
Apakah definisi mahasiswa ?
Mahasiswa berasal daripada perkataan ”Maha” dan ”Siswa”. Sebagaimana yang diketahui, maha itu dikategorikan sebagai kuasa atau sesuatu yang hebat manakala siswa itu pula bermaksud pelajar bijak pandai yang merujuk kepada golongan pelajar di peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat universiti. Maka, definisi mahasiswa disini ialah kuasa pelajar atau kehebatan pelajar (pelajar yang berkuasa/hebat).
Soalan 2
Kenapa mahasiswa sering dikaitkan dengan harapan bangsa dan sebagai pewaris kepimpinan negara?
Mahasiswa sering dikaitkan dengan harapan bangsa dan sebagai pewaris kepimpinan negara kerana mereka ini lazimnya terdiri daripada generasi muda yang berintelektual serta bersemangat tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Malah, mereka ini dilihat sebagai golongan yang idealistik yang mana mampu menyumbang idea-idea yang bernas dan segar dalam memberikan pandangan. Malah, golongan mahasiswa yang juga dikenali sebagai golongan pertengahan ini dilihat mampu memberi impak kepada perubahan politik sesebuah negara. Oleh yang demikian, ianya jelas terbukti bahawa mahasiswa adalah generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan negara pada masa akan datang.
Soalan 3
Apakah ciri-ciri mahasiswa yang cemerlang ?
- Sentiasa berfikir di luar kotak
- Berani menyuarakan pandangan yang bernas serta mengkritik apabila perlu
- Berperwatakan sebagai Jurubicara Ummah demi kedaulatan agama, bangsa dan negara
- Peka dengan isu-isu masyarakat di luar kampus
- Mengambil tahu serta menganalisa isu-isu semasa yang berlaku dalam negara
- Memimpin mahasiswa yang lain melalui persatuan-persatuan pelajar
Soalan 4
Apakah penyakit atau permasalahan yang melanda mahasiswa hari ini?
Antara penyakit utama yang melanda mahasiswa hari ini adalah sikap individualistik dan materialistik. Ini terjadi apabila mereka beranggapan universiti itu hanyalah sebagai tempat mereka mendapatkan ijazah dengan pointer yang cemerlang dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik. Akhirnya, mereka ini akn mati rasa dengan isu-isu masyarakat di luar.
Selain itu, segelintir mahasiswa pada hari ini lebih tertarik kepada hiburan melampau iaitu budaya hedonistik. Budaya kurang sihat ini dikenali sebagai virus perosak ummah kerana kewujudannya yang berpunca daripada barat dilihat memberi kesan yang sangat buruk kepada golongan muda mudi di negara ini. Budaya ini juga dikatakan mampu mengalih perhatian mahasiswa terhadap isu-isu ummah yang berlaku di dalam dan di luar negara. Malah, jika disuruh mereka ini berbicara soal permasalahan ummah yang berlaku di Palestin contohnya, berapai ramai diantara mereka yang mampu memberikan pandangan yang bernas dan segar. Sudah pasti tidak ramai yang mampu melakukannnya, kerana mereka ini lebih teruja untuk bercakap mengenai artis-artis kesayangan mereka yang dicipta khas daripada barat.
Soalan 5
Apakah peranan saudara sebagai MPP di universiti ke atas mahasiswa?
Sebagai MPP di UIAM, peranan kami kepada mahasiswa di universiti adalah dengan mengambil tahu akan perihal kebajikan mahasiswa-mahasiswa yang lain dan seboleh mungkin akan membantu mereka. Ini termasuklah dari segi kewangan dan juga kemudahan-kemudahan untuk belajar. Semua permasalahan ini akan kami bawa kepada pihak atasan universiti dan akan cuba diselesaikan secara bersama diantara pihak pentadbiran universiti dan juga daripada Majlis Perwakilan Pelajar.
Selain itu, kami di sini juga amat menitikberatkan pertarbiyahan rohani dan pendidikan pengetahuan am ke atas mahasiswa. Ini kerana, dua elemen ini iaitu ilmu-ilmu keagamaan dan pengetahuan am tersebut amat penting dalam membentuk generasi mahasiswa yang berdaya saing sebagai persediaan awal kepada mereka apabila berbakti kepada masyarakat di luar sesudah memasuki alam pekerjaan kelak. Sebagai contoh, kami sering mengadakan forum-forum umum yang menggalakkan mahasiswa berbicara, berkongsi idea, mengkritik dan berdebat secara sihat mengenai sesuatu isu. Malah, kami juga sering menganjurkan program-program bersifat keagamaan untuk mengajak golongan mahasiswa ini agar dekat kepada pencipta meraka seperti melakukan ceramah agama, qiamullail dan juga iftar (berbuka puasa) secara bersama.
Soalan 6
Bagaimana budaya kreativiti, inovasi dan penyelidikan dapat diterap dalam kalangan mahasiswa hari ini?
Budaya-budaya seperti ini mungkin dapat diterap dalam kalangan mahasiswa hari ini jika mahasiswa hari ini sedar akan peranan dan keberadaan mereka di universiti. Semuanya bertitik tolak daripada diri mereka sendiri untuk memupuk budaya positif ini ke dalam diri mereka. Selain itu, pihak universiti juga mungkin boleh memainkan peranan sebagai badan yang paling berautoriti di universiti dengan menjalankan kempen-kempen tertentu kepada mahasiswa agar minda mereka ini tidak hanya tertumpu kepada nota-nota pensyarah dan ’copy & paste’ maklumat daripada buku rujukan sahaja. Mereka harus dipupuk untuk berfikir diluar kotak supaya apa idea yang diberikan itu dilihat segar dan kreatif.
Soalan 7
Sebagai penutup, pada pandangan saudara yang juga merupakan mahasiswa, apakah yang perlu dilakukan oleh mahasiswa Malaysia hari ini untuk berjaya dalam hidup?
Untuk berjaya dalam hidup, mahasiswa Malaysia hari ini seharusnya mempunyai tekad serta keazaman yang penuh untuk menjadi pemacu kepimpinan negara yang berwawasan tinggi dengan membawa negara ke peringkat antarabangsa dengan cemerlang dan gemilang tanpa mengabaikan niai-nilai murni dan suruhan agama yang telah ditetapkan oleh syara’. Ini kerana, nilai-nilai murni dan suruhan agama itulah sebenarnya yang wadah utama kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat.
p/s: untuk disiarkan dalam majalah oleh IKIM; VISI
0 comments:
Catat Ulasan